PH parti alternatif pilihan rakyat

Anwar ketika berucap di program Dialog Anak Muda di Pendang Lake Resort pada Ahad.
Anwar ketika berucap di program Dialog Anak Muda di Pendang Lake Resort pada Ahad.
A
A
A

PENDANG - Pakatan Harapan (PH) menjadi parti alternatif yang diketengahkan sebagai pilihan kepada rakyat setelah melihat kepincangan dan kegagalan yang berlaku pada pemerintahan Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini gagal menangani peningkatan kos sara hidup rakyat dan beberapa isu lain.

Menurutnya, dalam masa sama kedua-dua ketua parti terbabit juga saling menuduh mereka gagal mentadbir dan ia merupakan peluang kepada PH untuk tampil sebagai alternatif terbaik.

"Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka saling menuduh gagal, tetapi untuk membela nasib rakyat tidak lagi kedengaran," katanya ketika sidang akhbar selepas program Dialog Anak Muda di Pendang Lake Resort di sini pada Ahad.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, PH juga tidak terlampau memikirkan soal permusuhan, tetapi hanya mahu mengetengahkan alternatif gabungan parti berkenaan kepada rakyat.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan tidak mahu mencampuri urusan kerjasama antara Pas dan UMNO memandangkan isu utama yang akan diketengahkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah kesejahteraan dan manfaat yang diterima rakyat sekiranya gabungan itu dipilih untuk mentadbir negara.

Pada Sabtu, Muhyiddin menyatakan bahawa semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU15 adalah BN.

Pengerusi PN itu sekali gus mengingatkan parti komponen PN supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Artikel Berkaitan: