Anwar bidas Mohd Rashid mengenai kerusi Ampang

Anwar
Anwar
A
A
A

BATU KAWAN - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kenyataan Exco Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mendakwa beliau akan melepaskan kerusi Parlimen Port Disckson untuk bertanding di Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Anwar berkata, beliau tidak pernah mengumumkan untuk bertanding di Ampang seperti dakwaan Mohd Rashid dan menganggap kenyataan itu sengaja dibuat untuk dia mempertahankan penyandang kerusi Parlimen terbabit, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menurutnya, Mohd Rashid harus sedar mengapa dia yang dahulu berkhidmat sebagai wakil rakyat di Pulau Pinang dan dipindahkan untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat pada PRU14 yang lalu.

"Rashid Hasnon ini siapa? Sebab apa kita hantar dia ke Batu Pahat? Sebab prestasi dia di Pulau Pinang kurang memuaskan.

"Kalau dia nak pertahankan Zuraida pun ini bukan caranya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Himpunan Wanita Keadilan di Bandar Cassia, di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Mohd Rashid berkata, desas-desus menyatakan Anwar akan melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson untuk bertanding di Parlimen Ampang memperlihatkan seolah-olah bahawa beliau tidak yakin untuk menang di kawasan majoriti Melayu.

Mohd Rashid turut mempersoalkan Ketua Pembangkang itu yang dikatakan memilih bertanding di Parlimen Ampang iaitu kawasan campuran yang hanya mempunyai 51 peratus pengundi Melayu dan 32 peratus pengundi Cina.

"Anwar kini menyasarkan kerusi Parlimen Ampang pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Ini memang kerusi pilihan bagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang langsung tidak yakin dapat sokongan pengundi Melayu.

"Anwar sebagai calon Perdana Menteri daripada PH sebenarnya takut berdepan dengan pengundi Melayu pada PRU15.

"Mengapa Anwar tidak memilih untuk bertanding di kawasan 'Malay heartland'? Apakah Anwar tahu PH telah hilang besar sokongan masyarakat Melayu?" soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.