Pas Kuantan lancar sukarelawan, persediaan hadapi banjir

Rosli (kiri) menerima borang pendaftaran Sukarelawan Banjir Pas Kuantan diserahkan Saharudin di Masjid Al Fatah, Batu 3 di sini pada malam Sabtu.
Rosli (kiri) menerima borang pendaftaran Sukarelawan Banjir Pas Kuantan diserahkan Saharudin di Masjid Al Fatah, Batu 3 di sini pada malam Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Pas Kuantan melancarkan pasukan sukarelawan bagi bagi membantu mangsa-mangsa banjir sekiranya bencana itu berlaku tahun ini.

Yang Dipertuanya, Rosli Abdul Jabar berkata, pelancaran Sukarelawan Banjir Pas Kuantan itu sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir besar berlaku seperti diramalkan.

Menurutnya, Pas Kuantan kini dalam usaha mendaftarkan seramai mungkin sukarelawan dengan sasaran awal seramai 200 orang dari kawasan itu dapat dikumpulkan.

"Kita jangkakan bilangan sukarelawan yang berdaftar akan melebihi sasaran ditetapkan mengambil kira pasukan sedia ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Pas.

"Setiap DUN Pas ada pasukan sukarelawannya sendiri dan mungkin mereka mungkin boleh digabungkan untuk gerak kerja yang lebih kuat dan tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Banjir Pas Kuantan di Masjid Al-Fatah, Batu 3 di sini pada malam Sabtu.

Turut hadir Pengarah Khidmat Malaysia Kawasan Kuantan, Saharudin Muhammad.

Rosli yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, pasukan sukarelawan itu akan diletakkan di bawah Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Kuantan sebagai badan induk.

Artikel Berkaitan:

"Sukarelawan ini tidak bertindak sendiri sebaliknya masih tertakluk kepada arahan pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan agensi-agensi berkaitan lain.

"Kita akan berperanan sebagai pasukan sokongan bagi membantu agensi penyelamat terutama ketika banjir berlaku.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, Masjid Al Fatah, Batu 3 akan dijadikan bilik gerakan untuk pasukan ini dalam menyelaras gerak kerja termasuk dalam urusan mengumpul dan mengagihkan bantuan," katanya.

Tambah beliau, pasukan itu dilengkapi beberapa bot sedia ada untuk digerakkan dalam operasi membantu pihak berkuasa menyelamatkan mangsa banjir dan penghantaran bantuan.

"Antara gerak kerja awal sukarelawan ini adalah untuk mengumpulkan sumbangan termasuk dana dan bekalan barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir kelak.

"Kita juga mungkin akan mengaturkan siri latihan asas kepada sebahagian sukarelawan ini jika ada keperluan dan kesempatan," katanya.

Rosli berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal pusat dan negeri lain serta entiti NGO lain di bawah Pas sekiranya diperlukan bergantung kepada situasi banjir yang berlaku.

"Kita juga sedia untuk menggerakkan sukarelawan ini ke kawasan-kawasan lain yang terjejas untuk membantu ketika dan pascabanjir" katanya.