Angkasa sasar bantu 50,000 anggota koperasi

Abdul Fattah (tengah) bersama para jemaah umrah semasa Majlis Flag Off peserta CoopUmrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
Abdul Fattah (tengah) bersama para jemaah umrah semasa Majlis Flag Off peserta CoopUmrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerusi MyAngkasa Holdings Sdn Bhd menyasarkan untuk membantu seramai 50,000 orang anggota koperasi yang berdaftar dengan agensi tersebut menunaikan ibadah umrah setiap tahun.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ia melibatkan peruntukan berjumlah RM350 juta dalam tempoh tersebut bagi merealisasikan perlaksanaan ibadah berkenaan di tanah suci.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi program CoopUmrah untuk membantu anggota koperasi dan orang ramai mengerjakan ibadah umrah dan ziarah dengan lebih mudah.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategiknya, iaitu Duyufurrahman Travel and Tours Sdn. Bhd dan Eco Riths Leisure Travel and Tours Sdn. Bhd.

Abdul Fattah (dua dari kiri) ketika berucap merasmikan Majlis Flag Off peserta CoopUmrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.
Abdul Fattah (dua dari kiri) ketika berucap merasmikan Majlis Flag Off peserta CoopUmrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Tambahnya, selain daripada meringankan beban kewangan ahlinya melakukan ibadah berkenaan, pelaksanaan program tersebut merupakan salah satu cara untuk mengelakkan para jemaah terjebak dengan kes penipuan pakej umrah yang berleluasa pada ketika ini.

“Isu penipuan ini bukan sahaja melibatkan anggota koperasi yang ingin menunaikan umrah, malah ada koperasi sendiri yang ditipu kerana ada segelintir mereka mencari bakal jemaah umrah dan menyerahkan kepada syarikat umrah.

“Sebelum ini juga, ia (ibadah umrah) dijalankan oleh koperasi masing-masing dan ada masanya mereka bersaing sesama sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Jadi menerusi program ini, kita beri jaminan bahawa proses yang melaksanakan ibadah umrah adalah sahih, dipercayai dan berjalan lancar,” katanya semasa Majlis Flag Off peserta CoopUmrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, program CoopUmrah menawarkan pelbagai pakej umrah yang berpadanan mengikut kesesuaian bajet bakal jemaah melalui plaform Zoomrah.

Para jemaah umrah menadah tangan membaca doa sebelum berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah tersebut.
Para jemaah umrah menadah tangan membaca doa sebelum berlepas ke tanah suci bagi menunaikan ibadah tersebut.

Lebih menarik, Abdul Fattah memaklumkan pihak koperasi yang mengendalikan pengurusan jemaah umrah melalui program CoopUmrah itu turut menyediakan pembiayaan pinjaman kepada ahlinya yang ingin menunaikan ibadah berkenaan.

“CoopUmrah ini juga menyediakan kemudahan untuk bakal jemaah mendapatkan pembiayaan menerusi pinjaman yang akan diuruskan oleh koperasi masing-masing.

“Kebanyakan koperasi juga akan menawarkan pembiayaan menerusi potongan gaji atau bayaran secara ansuran,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 100 orang jemaah daripada pelbagai peringkat usia berlepas ke tanah suci bagi melaksanakan ibadah umrah dan ziarah melalui program CoopUmrah.

Abdul Fattah berkata, pada Ogos lalu, beberapa kepimpinan tertinggi dan pengurusan Angkasa telah berangkat ke tanah suci bagi mengalami sendiri pengalaman menjalankan ibadah umrah dan ziarah di bawah program sama.

Setelah itu, kumpulan yang berangkat ke sana kali ini pula terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga Angkasa untuk melaksanakan ibadah tersebut selama 12 hari.

Kumpulan pertama terdiri daripada warga dan keluarga kakitangan Angkasa teruja untuk berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
Kumpulan pertama terdiri daripada warga dan keluarga kakitangan Angkasa teruja untuk berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah.

“Kumpulan jemaah kali ini merupakan kelompok pertama terdiri daripada kakitangan Angkasa yang akan menunaikan umrah di sana dan perlu membuat penilaian tentang pengalaman mereka di sana.

“Jika semuanya berjalan lancar, jemaah yang pergi menunaikan umrah kali ini akan membawa anggota koperasi lain yang akan ke tanah suci untuk melakukan ibadah tersebut pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, program CoopUmrah akan diangkat sebagai salah satu program di bawah Projek Pemerkasaan Koperasi (CEP) di mana jika ia berjaya dilaksanakan, gerakan koperasi boleh terlibat sama untuk turut terbabit dalam program itu.

Abdul Fattah berkata, Angkasa selaku badan apeks yang menaungi gerakan koperasi negara akan terus meluaskan ruang dan peluang perniagaan yang dapat diceburi oleh koperasi.

Katanya, CoopUmrah dilihat sebagai satu usaha demi meningkatkan peranan dan sumbangan gerakan koperasi kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.