Aaron, Wooi Yik dapat RM100,000

Yee Hin (tengah) menyampaikan insentif RM100,000 kepada Aaron dan Wooi Yik di Setapak, pada Sabtu. - Foto Bernama
Yee Hin (tengah) menyampaikan insentif RM100,000 kepada Aaron dan Wooi Yik di Setapak, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN beregu badminton utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran dunia terus mendapat pengiktirafan.

Kali ini gandingan itu menerima insentif berjumlah RM100,000 daripada Southern Score Builders Berhad, sebuah syarikat perkhidmatan pengurusan pembinaan di Kuala Lumpur, pada Sabtu

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu Gan Yee Hin, yang menyerahkan replika cek kepada Aaron dan Wooi Yik, dalam ucapannya berkata, insentif itu diberi sebagai penghormatan kepada kejayaan cemerlang pasangan itu yang merangkul gelaran dunia pertama untuk Malaysia di Tokyo, bulan lepas.

“Kami percaya gelaran dunia ini hanyalah permulaan dalam kerjaya badminton mereka. Kami harap hadiah ini akan memberi lebih motivasi untuk mereka meraih pencapaian lebih hebat dan membawa kejayaan kepada negara.

“Kami harap usaha pemberian insentif ini akan memberi inspirasi kepada pihak lain untuk membantu generasi baharu pemain yang berani menceburi bidang sukan sebagai karier mereka,” katanya.

Yee Hin berkata, syarikat itu turut menyumbang RM200,000 kepada Kelab Badminton Petaling (PBC) iaitu kelab yang melatih kedua-dua atlet itu sebelum mereka menyertai pasukan kebangsaan.

“Kami harap sumbangan itu dapat menyokong usaha mereka (PBC) melatih bakat untuk mewakili negara. PBC mempunyai sejarah melahirkan beberapa pemain terkenal negara seperti Chen Tang Jie, Cheam June Wei, Man Wei Chong dan Goh V Shem,” katanya.

Sementara itu, Aaron yang berterima kasih kepada syarikat itu serta semua rakyat Malaysia menyokong mereka selama ini, berkata, insentif seumpama itu mendorong mereka untuk memenangi lebih banyak kejuaraan.

Artikel Berkaitan:

Awal bulan ini, pemenang gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu menerima insentif berjumlah RM500,000 bagi kejayaan mereka di Jepun daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan beberapa penaja rasmi.

Pada 28 Ogos, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk merangkul gelaran sulung kejohanan dunia.

Dalam pada itu, Aaron berkata, beliau kini dalam proses pemulihan susulan kecederaan pada bahagian bahu kanan yang memaksa mereka menarik diri daripada Terbuka Jepun, bulan lepas.

“Sudah 80-90 peratus sembuh. Selasa ini akan lakukan MRI sekali lagi untuk lihat tahap kecederaan,” katanya.

Wooi Yik pula berharap mereka pada tahap terbaik untuk bertanding dalam Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan depan serta Final Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Disember ini. - Bernama