Cadangan had tempoh jawatan Ketua Menteri dibawa ke DUN Sabah

Hajiji (tengah) bersama presiden dan pemimpin komponen dalam GRS pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid, Telupid.
Hajiji (tengah) bersama presiden dan pemimpin komponen dalam GRS pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid, Telupid.
A
A
A
BELURAN - Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, jemaah kabinet Sabah secara dasarnya sudah meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan itu kepada dua penggal.

Menurutnya, sekiranya rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju untuk meminda perlembagaan negeri berkaitan perkara itu, ia akan dibawa ke persidangan DUN Sabah akan datang.

"Saya telah mencadangkan perkara ini dan kabinet negeri telah bersetuju. Jadi, sekiranya rakyat dan semua ADUN kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda perlembagaan negeri.



"Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan, justeru perlembagaan negeri perlu dipinda melalui persidangan DUN Sabah.

"Cadangan Ini merupakan salah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN)," katanya pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid pada Sabtu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungan yang terdiri daripada parti berbilang kaum dan kepercayaan agama itu merupakan wadah serta platform menyatukan pemimpin dan rakyat Sabah untuk bersama-sama memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.

Hadir sama, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Ahli Parlimen Beluran merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pemimpin dari parti-parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah.

"Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)", tegasnya.
Artikel Berkaitan:


Hajiji dalam pada itu meminta agar jentera GRS diaktifkan di semua kawasan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Jentera GRS mesti turun ke kampung-kampung memberi penerangan kepada rakyat tentang matlamat dan perjuangan GRS," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya rakyat di Beluran memastikan calon yang dipilih bagi mewakili GRS akan menang di kerusi Parlimen Beluran pada PRU15.