Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini. Foto hiasan
Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini dalam dagangan berhati-hati dalam persekitaran aliran penurunan serantau selepas Wall Street merosot semalaman, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasara FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.93 mata atau 0.41 peratus kepada 1,441.25 daripada 1,447.18 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.31 mata kepada 1,444.87, seterusnya bergerak antara 1,440.38 dan 1,448.51 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 455 berbanding 280 manakala 340 kaunter tidak berubah, 1,315 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.20 bilion unit bernilai RM77.03 juta.

Bursa tempatan meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah hari ini dan kebanyakannya kekal dalam julat negatif sepanjang sesi dagangan.

"Sentimen terus berhati-hati dengan indeks barometer bergerak dalam jajaran kecil berikutan pelabur menerima kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kali ketiga pada tahun ini dan kenyataan mengenai kenaikan yang lebih agresif akan datang,” kata peniaga.

Ekuiti Asia merosot hari ini sebagai reaksi terhadap keputusan Fed.

Artikel Berkaitan:

"Selepas keputusan Fed itu, mungkin terdapat tekanan yang berterusan ke atas aset berisiko apabila dasar monetari di AS dan negara lain diketatkan sebagai reaksi kepada tekanan harga dan normalisasi penawaran wang (pasca-pandemik),” kata peniaga ActivTrades Anderson Alves.

Katanya, peniaga akan turut memantau perang Rusia-Ukraine berikutan Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan gerakan separa anggota tenteranya untuk 'membebaskan' wilayah Donbas.

"Sebarang peningkatan mengenai perkara itu akan meningkatkan risiko lebih banyak kesesakan rantaian bekalan dan sekatan terhadap Rusia,” katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun merosot 0.49 peratus kepada 27,178.76, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 1.88 peratus kepada 18,097.58, Indeks Straits Times Singapura susut 0.41 peratus kepada 3,248.46, Kospi Korea Selatan turun 1.1 peratus kepada 2,321.44 dan Indeks SSE Shanghai merosot 0.31 peratus kepada 3,107.63.

Dalam negara, saham wajaran tinggi Maybank menambah satu sen kepada RM8.74, Public Bank naik dua sen kepada RM4.42, Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM8.56, CIMB merosot empat sen kepada RM5.41 dan IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM6.01.

Daripada saham aktif, RGB International naik 1.5 sen kepada 14.5 sen, Cnergenz menambah empat sen kepada 99.5 sen, Top Glove merosot 1.5 sen kepada 63 sen, Vinvest berkurangan dua sen kepada 21 sen dan Borneo Oil tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 28.92 mata kepada 10,301.17, Indeks FBMT 100 merosot 30.18 mata kepada 10,040.45, Indeks FBM Emas Shariah susut 41.15 mata kepada 10,348.74 dan FBM ACE turun 18.65 mata kepada 4,759.47, bagaimanapun FBM 70 naik 6.74 mata kepada 12,539.29.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga merosot 5.56 mata kepada 720.02, Indeks Perladangan berkurangan 9.83 mata kepada 6,835.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 22.79 mata kepada 16,377.06 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.94 mata kepada 174.74. - Bernama