DPMM sokong GST, kadar tiga hingga empat peratus sesuai

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyokong agar kerajaan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dalam pembentangan Bajet 2023.

Presiden DPMM, Dr Abd Halim Husin berkata, kadar antara tiga hingga empat peratus yang dicadangkan jika mahu memperkenalkan GST juga dilihat bersesuaian pada masa sekarang.

Untuk memperkenalkan semula GST ini, ia akan menaikkan sedikit kos pengendalian dan kos pematuhan.

“Bagaimanapun, GST ini perlu diadakan bagi mengeluarkan peniaga-peniaga ini daripada senarai hitam yang tidak membayar cukai oleh kerana sistem GST ini daripada pengilang sehingga ke pengguna kita dapat jejak jualan dan belian mereka.

“Kita akan dapat jejak di mana kebocoran atau ketirisan cukai yang berlaku. Jadi, saya menyokong kerajaan untuk mengadakan semula GST ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan kadar antara tiga hingga empat peratus jika bercadang memperkenalkan semula cukai GST bagi menggantikan cukai SST dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen 7 Oktober depan.

Mohd Fairuz berkata, pengenalan semula GST pada kadar berkenaan juga dijangka tidak memberi kesan besar kepada rakyat.

Abd Halim menambah, pengenalan semula GST tidak memberi kesan yang besar kepada perusahaan disebabkan ia tidak ditanggung oleh pengusaha.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan GST ini adalah cukai yang dikenakan kepada penggunaan. Pengguna yang akan bayar,” ujarnya.

Katanya, untuk pengguna pula, kadar tiga hingga empat peratus tidaklah berat kepada mereka.

“Kerajaan akan mendapat pulangan daripada cukai-cukai yang akan dikenakan, bukan daripada GST tetapi daripada ketirisan yang sedang berlaku dan dapat dikesan oleh GST,” katanya.

Beliau turut berharap sekiranya GST mula diperkenalkan semula, ketidakfahaman mekanismenya dalam kalangan peniaga seperti sebelum ini tidak akan berlaku lagi.