Polis tahan dua lelaki bergaduh kes curi burung

Video tular memaparkan seorang lelaki memukul mangsa dengan menggunakan kayu dalam kejadian di Kampung Pantai Kundur.
Video tular memaparkan seorang lelaki memukul mangsa dengan menggunakan kayu dalam kejadian di Kampung Pantai Kundur.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan pergaduhan sekumpulan lelaki yang dikatakan berpunca daripada kecurian burung di Kampung Pantai Kundur di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, penahanan lelaki berusia 38 dan 44 tahun dibuat susulan laporan kira-kira jam 8.33 malam pada 20 September.

Menurut beliau, sejak Selasa tular video berdurasi 24 saat di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang lelaki dipukul menggunakan kayu kerana didakwa mencuri burung bernilai RM10,000.

"Polis kini sedang mengesan beberapa suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Rosdi juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

Artikel Berkaitan: