Kolaborasi seluruh negara perkasa pengurusan bencana

Meor Ismail (empat dari kiri) bersama pembuat keputusan bagi zon timur menyertai bengkel Pengurusan Bencana di Kota Bharu. Foto ihsan Japen
Meor Ismail (empat dari kiri) bersama pembuat keputusan bagi zon timur menyertai bengkel Pengurusan Bencana di Kota Bharu. Foto ihsan Japen
A
A
A

KOTA BHARU - Pimpinan tertinggi dan ketua-ketua jabatan di seluruh negara bekerjasama mengatur strategi dalam memperkasakan pengurusan bencana menjelang musim tengkujuh pada hujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma), Meor Ismail Meor Akim berkata, kerjasama menerusi bengkel itu diadakan bagi memperkasakan pengurusan bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di peringkat daerah dan negeri.

Katanya, perkongsian maklumat dan kerjasama melibatkan pembuat keputusan di peringkat PKOB iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Daerah manakala PKTK pula membabitkan ketua polis negeri, pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, ketua polis daerah dan pegawai bomba daerah.

“PKOB dan PKTK amat penting kerana PKOB adalah tempat perancangan dan penyelarasan daripada segi aset, sumber manusia, keperluan logistik dan data yang dibuat bagi melancarkan sesuatu operasi bencana.

“PKTK pula adalah tempat perancangan dan penyelarasan atur gerak pasukan penyelamat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Rabu.

Kelantan tuan rumah penganjuran bengkel pengurusan bencana bagi zon timur. Foto ihsan Japen
Kelantan tuan rumah penganjuran bengkel pengurusan bencana bagi zon timur. Foto ihsan Japen

Beliau berkata, kerjasama menerusi bengkel dirancang mengikut enam zon dengan Kelantan terpilih sebagai negeri pertama diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi zon timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Zon seterusnya membabitkan zon selatan meliputi Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Zon utara pula meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dengan Kedah sebagai tuan rumah,” katanya.

Menurut beliau, Perak yang akan menjadi tuan rumah bagi zon tengah yang melibatkan Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan selanjutnya zon Sarawak serta zon Sabah.

“Penglibatan peserta di semua negeri sangat baik dan kerjasama akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, menurut Nadma, kesemua 10 daerah di Kelantan dikategorikan sebagai lokasi berisiko banjir.