JPS kesan 36 titik panas berisiko banjir di KL

Rajah memaparkan kawasan KL dan senarai lokasi 'hotspot' banjir. - Foto: Facebook Nadma.
Rajah memaparkan kawasan KL dan senarai lokasi 'hotspot' banjir. - Foto: Facebook Nadma.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengenalpasti sejumlah 36 titik panas berisiko banjir di ibu kota.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan lokasi-lokasi yang berisiko dilanda banjir ialah kawasan Pusat Dagangan Dunia (WTC), Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh, dan Kampung Kassipilay.

Lokasi lain pula ialah Jalan Kuching, Jalan Tun Razak (Wisma Bernama), Jalan Pekeliling, Kampung Puah, Jalan Kolam Air, Bulatan Dato Onn, Bulatan Pahang, Kampung Chubadak, Pekan Salak Selatan, Chan Sow Lin dan Jalan Pahang.

"Antara lokasi lain yang berisiko banjir ialah Jalan Segambut, Segambut Bahagian, Jalan Pudu, Jalan Ampang, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Cheras, Razak Mansion, Jalan Pudu, Universiti Malaya (UM) dan Masjid Jamek.

"Turut dinaiki air ialah di Jalan Duta, Pantai Dalam, Jalan Dang Wangi, stesen Transit Aliran Ringan LRT Sungai Besi, Tol Kesas, Jalan Maarof, Jalan Kia Peng, stesen LRT Bangsar, Jalan Travers, Kepong Baru," katanya pada Selasa.

Nadma pada hari sama turut melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai 'hotspot' banjir.

Menurut agensi itu, JPS Malaysia memaklumkan lapan daerah terlibat adalah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenarai sebagai 'hotspot' ialah Hulu Selangor.

Menurutnya, 'hotspot' berkenaan ditentukan berdasarkan kekerapan banjir lebih tiga kali dari 2019 hingga 2022.

Artikel Berkaitan: