Lanjutkan jangka hayat 9 jawatankuasa Parlimen: Perintis

Jika sembilan buah JPKP ini dibubarkan secara tidak sengaja kerana usul tidak diluluskan tepat pada masanya, maka perkara 3.2 dalam Jadual MoU mengenai perluasan jawatankuasa Parlimen akan tercabul.
Jika sembilan buah JPKP ini dibubarkan secara tidak sengaja kerana usul tidak diluluskan tepat pada masanya, maka perkara 3.2 dalam Jadual MoU mengenai perluasan jawatankuasa Parlimen akan tercabul.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Rakyat diminta untuk melanjutkan jangka hayat sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) sehingga akhir penggal Parlimen ke-14.

Menurut Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, JPKP tersebut melibatkan hal ehwal negara yang terdiri daripada Kebebasan Asasi dan Hak-Hak Di Bawah Perlembagaan, Kewangan dan Ekonomi, Keselamatan, Agensi-agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Infrastruktur, Pendidikan, Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial serta Kesihatan, Sains dan Inovasi.

Ujar mereka, sekiranya pelanjutan tersebut tidak dilaksanakan, JPKP itu akan ditamatkan pada 10 November ini memandangkan penubuhannya pada 11 November 2020.

“Kami menegaskan bahawa pelanjutan perlu dilakukan pada minggu pertama mesyuarat Parlimen untuk membolehkan JPKP tersebut merancang gerak kerja mereka melangkaui tarikh 10 November 2022.

“Walaupun mandat mereka akan terhenti secara automatik apabila sesebuah pilihan raya dipanggil, gerak kerja mereka tidak harus dihalang oleh permainan tekaan tarikh pilihan raya.

“Kami seterusnya menegaskan, setiap kementerian harus dipantau oleh sekurang-kurangnya sebuah jawatankuasa Parlimen dan jawatankuasa tersebut harus bersifat kekal dan bukannya bersifat sementara seperti yang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan komuniti tersebut yang terdiri daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Jaringan ENGAGE, Yayasan Wisdom, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Bait Al-Amanah, Persatuan Pengundi Muda (Undi18) serta Institut Reformasi dan Demokrasi (REFORM).

Jelas komuniti itu, pihaknya meminta 10 ahli Parlimen yang merupakan ahli dalam Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) untuk memastikan sebuah usul diluluskan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan sembilan buah JPKP ini

Artikel Berkaitan:

“Jika sembilan buah JPKP ini dibubarkan secara tidak sengaja kerana usul tidak diluluskan tepat pada masanya, maka perkara 3.2 dalam Jadual MoU mengenai perluasan jawatankuasa Parlimen akan tercabul,” ujarnya.

Pihaknya turut menyatakan bahawa terdapat 9 kementerian tidak dipantau oleh JPKP antaranya alam sekitar, sumber manusia, sumber asli dan perpaduan negara.

Selain itu, komuniti berkenaan memaklumkan tidak dapat berfungsi dengan baik bagi beberapa kementerian lain.

“Yang paling teruk ialah JPKP mengenai Pembangunan Infrastruktur, yang meliputi Kerja Raya, Pengangkutan, Pembangunan Luar Bandar, dan Perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan. Maka, perlu wujudnya sebuah JPKP untuk setiap kementerian-kementerian penting ini,”katanya.

Komuniti tersebut menambah, pihaknya menggesa Jawatankuasa Pemandu MoU untuk menunaikan tiga janji yang masih belum ditunaikan seperti pindaan Perlembagaan untuk menetapkan had tempoh jawatan sepuluh tahun Perdana Menteri (perkara 2.3), meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) (perkara 3.1) dan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat Parlimen (perkara 3.4).

“Bagi memastikan prosiding Parlimen dijalankan dengan teratur dan berkesan, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat mesti dipinda untuk menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa tetap bagi kesemua kementerian dan agensi utama,” tegasnya.