Aduan penipuan pelaburan meningkat ketika pandemik: SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

KUCHING - Bilangan aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen di Malaysia masing-masing meningkat 25 peratus dan 57 peratus, dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Pengurus Besarnya, Jawahar Ali Ameer Ali berkata, pada tahun lepas, terdapat 1,857 aduan dan 2,193 pertanyaan diterima, manakala pada 2020 terdapat 1,482 aduan dan 3,464 pertanyaan.

Walaupun tiada data atau sebab yang tepat di sebalik peningkatan jumlah itu, beliau percaya bahawa masalah kewangan yang dihadapi oleh orang ramai dalam tempoh itu menyebabkan mereka terperangkap dengan umpan penipu.

"Sebelum 2019, kami menerima aduan dan pertanyaan tetapi tidak sebanyak ini. Jadi, jumlahnya agak ketara dan daripada pemerhatian saya, ia berkaitan dengan orang yang dikenakan perintah sekatan pergerakan, bosan dan ramai daripada mereka bergelut dari segi kewangan.

"Jadi mereka mencari peluang melalui media sosial dan memerlukan lebih banyak wang dan ini menyebabkan kegiatan penipu ini terus meningkat,” katanya kepada pemberita pada program dua hari "Bersama InvestSmart@Sarawak 2022” baru-baru ini.

Persekitaran kadar faedah yang rendah ketika itu dan penggunaan media sosial yang tinggi turut menyumbang kepada peningkatan penipuan dalam talian, tambahnya.

Mengambil maklum bahawa ‘pelabur yang bermaklumat ialah pelabur yang dilindungi’, Jawahar Ali berkata, siri bengkel perancangan pendidikan dan kewangan mengenai pelaburan yang diadakan oleh SC melalui platform InvestSmart akan memastikan orang ramai lebih celik kewangan.

Sebagai contoh, InvestSmart menjalankan program Agen Bijak Labur Desa (ABJAD) yang bermula tahun ini, khusus bertujuan meningkatkan pengetahuan kewangan dan pelaburan penduduk luar bandar, memandangkan penduduk luar bandar dikenal pasti berisiko berdasarkan aduan dan pertanyaan yang diterima oleh SC.

Artikel Berkaitan:

"Di bawah ABJAD, kami menyasarkan pelajar sekolah menengah menjadi ejen perubahan dengan memaklumkan mereka tidak terjerumus dalam penipuan supaya mereka pulang ke rumah dan memaklumkan ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Secara keseluruhannya, kami mempunyai 14 sekolah terlibat dengan dua daripadanya di Sarawak. Sasaran kami ialah 12,500 peserta melibatkan pelajar dan guru menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Jawahar Ali berkata, SC berhasrat untuk menjadi lebih proaktif dalam mendidik orang ramai tentang mengenal pasti ‘bendera merah’ penipuan pelaburan melalui platform sosialnya seperti Twitter, Instagram dan YouTube.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak Senarai Peringatan Pelabur SC untuk mengenal pasti entiti yang tidak dibenarkan dan tidak berlesen di Malaysia.

"Sesetengah syarikat ini mendakwa sebagai firma pelaburan antarabangsa, tetapi ini adalah penipuan yang kami cuba hapuskan kerana yang paling penting, mereka mesti mempunyai lesen di Malaysia untuk beroperasi di Malaysia walaupun entiti itu dilesenkan oleh 10 bidang kuasa berbeza,” katanya.

Sempena bulan celik kewangan Oktober ini, program pendidikan dan pameran pelabur berskala lebih besar - InvestSmart Fest - akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 14 hingga 16 Oktober. - Bernama