Harimau Malaya enggan mengalah sebelum berjuang

Skuad Harimau Malaya tekad memberi tentangan sengit pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai. - Foto FB FAM.
Skuad Harimau Malaya tekad memberi tentangan sengit pada Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai. - Foto FB FAM.
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya enggan mengibar bendera putih sebelum bertarung dengan menjadi Kejohanan Piala Raja Thailand edisi ke-48 sebagai medan untuk membuktikan kemampuan sebenar, biarpun bakal berdepan saingan sengit daripada pasukan lawan.

Pemain sayap lincah, Faisal Halim mengakui tiada istilah menyerah kalah sebelum berjuang kerana para pemain skuad kebangsaan mempunyai kualiti dan kemampuan untuk memberi tentangan sengit pada kejohanan itu.

“Sudah tentu setiap kali kita pergi ke sesuatu kejohanan atau perlawanan seperti ini, jurulatih katakan kita pergi untuk ke final.

“Kita mahukan Piala Raja Thailand, tetapi kita tahu perlawanan pertama berdepan Thailand bukanlah satu aksi yang mudah.

“Kita tahu kemampuan Thailand, tetapi kita pun ada kemampuan kita juga. Apa yang penting adalah satu pencapaian yang baik jika kita berjaya menyekat Thailand,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Beliau juga mengakui gabungan ramai pemain muda berkualiti dan pemain berpengalaman yang disenaraikan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon untuk kejohanan itu bakal menjadi skuad terbaik negara.

Ini kerana menurut Faisal, barisan pemain muda yang dibawa kali ini adalah sebahagian daripada perancangan Pan-gon untuk menyusun skuad bagi menghadapi Piala Asia 2023.

“Selepas tiga hari berlatih bersama, semua pemain cukup bersemangat dan bersedia untuk menghadapi Thailand pada perlawanan pertama nanti.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang saya boleh katakan ini adalah skuad yang mungkin bakal menjadi pasukan terbaik negara pada masa akan datang kerana skuad yang ditampilkan kali ini adalah daripada kalangan pemain muda, senior dan bukannya pemain berusia.

“Dalam skuad kali ini tiada pemain bintang dan apa yang penting semua akan bekerjasama untuk pamer aksi terbaik nanti,” katanya.

Dalam perlawanan pembukaan kejohanan yang berlangsung di Chiang Mai itu, skuad negara akan bertemu tuan rumah, Thailand pada 22 September ini.

Faisal Halim juga mengakui dengan adanya ramai pemain muda berkualiti seperti Arif Aiman Hanapi, ia pasti akan membuatkan skuad negara lebih ampuh.

“Tidak boleh dinafikan kita mempunyai pemain sayap berbakat besar iaitu Arif Aiman. Beliau merupakan seorang pemain muda yang cukup berkualiti dan saya bangga dengan beliau,” katanya.

Pan-gon dijangka menggandingkan dua pemain sayap lincah Arif Aiman di sebelah kanan dan Faisal di sebelah kiri yang dijangka mampu mengucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.

Selain Malaysia dan Thailand, dua pasukan yang akan turut bersaing dalam kejohanan itu adalah Tajikistan dan Trinidad And Tobago.