Mat Kilau tular lagi kerana Netflix

FILEM yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia ketika ini, Mat Kilau telah pun ditayangkan di Netflix bermula 16 September lalu.
FILEM yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia ketika ini, Mat Kilau telah pun ditayangkan di Netflix bermula 16 September lalu.
A
A
A

FILEM yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia ketika ini, Mat Kilau telah pun ditayangkan di Netflix bermula 16 September lalu bertepatan dengan Hari Malaysia.

Pada hari cuti umum tersebut, ramailah yang mengambil peluang menontonnya di rumah bersama keluarga.

Bagi yang tidak sempat ke pawagam, sudah pastilah teruja untuk menonton buat kali pertama. Yang sudah menyaksikan di pawagam pula mahu menonton di rumah pula.

Namun, setelah filem tersebut disiarkan di Neflix, media sosial dipenuhi kritikan kononnya filem Mat Kilau cuma indah khabar daripada rupa.

Sebuah filem pecah panggung yang diuar-uarkan hebat tetapi hasil sebenarnya adalah mengecewakan. Itulah kata-kata segelintir pengkritik filem.

Komen-komen tersebut tidaklah mengejutkan. Hal ini kerana sejak awal lagi, ramai yang berpendapat Mat Kilau bukanlah sebuah filem terbaik dan sempurna. Masih ada kelemahan yang boleh dibaiki.

Namun, ketika itu majoriti reviu mengatakan Mat Kilau adalah sebuah filem yang wajar ditonton sehingga ada yang memberikan markah 10/10 kerana berjaya menaikkan semangat kepahlawanan Melayu dalam kalangan penonton.

Itu belum lagi ada yang menangis tanpa disuruh-suruh di dalam pawagam. Maka berlumba-lumbalah orang-orang kita ke pawagam kerana nak tengok Mat Kilau sambil memakai kostum seperti orang zaman dahulu.

Filem ini sudah menjadi fenomena, jadi adakah Mat Kilau bertaraf rendah? Jawapannya ada pada anda.

Apa yang pasti, filem ini telah berjaya menjentik hati rakyat Malaysia. Apatah lagi dalam menilai sesebuah filem, masing-masing ada selera berbeza.

Ada yang betul-betul suka tanpa melihat kelemahan lain, sementara ada juga yang betul-betul menilai keseluruhan karya dari sudut profesional.

Artikel Berkaitan:

Namun biarlah pandangan tersebut membina dan bukan menghentam. Setiap filem, pengarah, pelakon ada kekuatan dan kelemahan. Tidak bagus untuk mengecam Mat Kilau tanpa mengambil kira sumbangannya.

Kesimpulannya, ya betul filem Mat Kilau bukanlah sebuah filem yang sempurna namun semangat Mat Kilau sudah berjaya menyerap ke dalam jiwa anak-anak muda kita.

Anak-anak di peringkat sekolah rendah pun sudah ingin ambil tahu mengenai sejarah, bukan sahaja Mat Kilau tetapi juga pahlawan-pahlawan yang lain. Tahniah Syamsul Yusof.