MAFI belanja lebih RM18 juta laksana PJMKM tiga negeri

NIK MUHAMMAD ZAWAWI
NIK MUHAMMAD ZAWAWI
A
A
A

BACHOK - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi agensinya telah membelanjakan lebih RM18 juta untuk melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) membabitkan tiga buah negeri setakat ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, tiga negeri itu ialah Sabah, Melaka dan Kelantan.

"Sebanyak 146 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri tersebut telah melaksanakan PJMKM.

"MAFI bersama agensi terutama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) komited untuk membantu meringankan beban rakyat menerusi penganjuran PJMKM,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan PJMKM Peringkat Kelantan di Pusat Khidmat DUN Tawang, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang, Datuk Hassan Mahamood; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI, Zulfahmi Othman dan Pengarah LKIM Kelantan, Khuzaimah Husain.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, semua 45 kawasan DUN di Kelantan telah melaksanakan PJMKM dengan nilai jualan RM3 juta melibatkan 7,266 pelanggan.

"Antara barangan yang dipasarkan termasuk ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula, minyak masak, tepung gandum, beras dan sayur-sayuran dengan potongan harga sehingga 20 peratus daripada harga pasaran," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!