Kamal ceriakan kem olahraga Perlis

Kamal ketika beraksi dalam acara lempar cakera di temasya Sukma MSN 2022
Kamal ketika beraksi dalam acara lempar cakera di temasya Sukma MSN 2022
A
A
A

ATLET olahraga Perlis, Kamal Farhan Abdul Rahman menceriakan kontinjen Perlis pada hari terakhir Sukan Malaysia (Sukma) 2022 MSN apabila mengungguli acara lempar cakera lelaki sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Atlet berusia 21 tahun mengungguli acara itu dengan lemparan sejauh 48.08 meter (m) sekaligus menewaskan pemenang pingat perak dari Sarawak, Jonah Chang Rigan yang mencatat 43.82m dan atlet Johor, Tan Jing Cheng di tempat ketiga (41.25m).

“Saya sangat bersyukur hari ini (semalam) kerana ini adalah Sukma pertama dan terakhir saya. Empat tahun saya tunggu sejak Perak lagi (Sukma 2018).

“Walaupun tidak mencapai catatan peribadi baharu, mungkin sebab cuaca pagi ini tak berapa mengizinkan. Namun, saya sangat berpuas hati dengan prestasi saya,”katanya.

Dalam pada itu, hasrat pemenang pingat emas acara lompat bergalah Sukan SEA Hanoi 2021, Nor Sarah Adi untuk meraih pingat emas di temasya Sukma MSN tidak kesampaian selepas gagal melakukan sebarang catatan.

Menurut atlet berusia 22 tahun, dia gagal beraksi dengan baik selepas galah yang biasa digunakan hilang sehingga terpaksa menggunakan galah atlet-atlet lain sekaligus menyebabkannya hilang keyakinan.

"Lompat galah tak okey, tiada catatan. Saya langsung tak yakin waktu lompat (walaupun) had ketinggian 2.90 meter (m) sebab saya tak guna galah saya.

"Saya bawa galah sendiri tetapi mungkin ada orang tukar. Saya tak tahu nak cakap apa sebab saya dah sediakan semuanya letak di stor MSN (Majlis Sukan Negara) semalam (kelmarin).

Artikel Berkaitan:

"Ada orang buka guna galah saya semalam (kelmarin) dan letak balik galah yang salah. Jadi bila saya buka bagi tadi, tengok-tengok bukan galah saya," kata atlet Pahang itu dalam nada yang cukup kecewa.

Kegagalan pilihan utama itu menyaksikan pingat emas dimenangi atlet Sarawak, Evelyne Tan Xie Yie dengan catatan 2.90m.

Pingat perak pula menjadi milik Nur Anis Natasha Abdul Razie dari Wilayah Persekutuan menerusi catatan 2.80m, manakala wakil Pulau Pinang, Ch'ng Qin Yan di tempat ketiga (2.50m).