Balu mangsa pertama Covid-19 kini usahawan ayam gunting

Asma Ahmad (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noradilah Rani dan empat anaknya dalam program penyerahan sumbangan Isma kepada anak-anak yatim Covid-19 di pusat beli-belah Aeon Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, pada Sabtu
Asma Ahmad (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada Noradilah Rani dan empat anaknya dalam program penyerahan sumbangan Isma kepada anak-anak yatim Covid-19 di pusat beli-belah Aeon Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lumrah hidup manusia tidak akan terlepas daripada dugaan sama ada manis atau pahit perlu dilalui.

Balu mangsa pertama Covid-19, Noradilah Rani, 35, melaluinya selepas merasakan urusan kehidupannya di dunia seperti terhenti apabila suaminya, Muhammad Yusuf Haron meninggal dunia akibat jangkitan virus itu pada 17 Mac 2020.

Dia yang merupakan suri rumah ketika itu pada mulanya tidak tahu bagaimana mahu memulakan hidup baharu sebelum mengambil keputusan berniaga untuk menyara kehidupan dia bersama enam anaknya.

"Insiden ini telah mengubah kehidupan saya daripada seorang suri rumah kepada peniaga ayam gunting. Saya berniaga dari jam 5 petang hingga 11 malam di Majidee.

"Alhamdulillah, walaupun pendapatan tidak terlalu besar tetapi setidak-tidaknya dapat membantu menampung keperluan saya dan enam orang anak yang masih kecil termasuk empat sedang bersekolah," katanya kepada pemberita sempena program penyerahan sumbangan oleh Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kepada anak-anak yatim akibat Covid-19 di pusat beli-belah Aeon Bandar Dato’ Onn di sini, pada Sabtu.

Noradilah berkata, pendapatan berniaga ayam gunting diusahakannya itu tidak tetap dan bergantung kepada keadaan cuaca termasuk pelanggan akan kurang jika hujan lebat.

Kata Noradilah lagi, dia bersyukur kerana menerima sumbangan melibatkan kelengkapan persekolahan dan belanja bulanan bagi semua anaknya.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada Isma dan rakyat Malaysia yang menyumbang untuk program ini. Sumbangan yang diterima ini akan saya guna untuk memastikan kesemua anak saya mendapat pendidikan formal seperti kanak-kanak lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Muhammad Yusuf yang menyertai perhimpunan Tabligh Masjid Sri Petaling di ibu negara menjadi mangsa pertama dalam kumpulan itu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Muhammad Yusuf dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac 2020 selepas disahkan positif Covid-19 dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Sementara itu, Ketua Biro Keluarga dan Masyarakat Isma, Asma Ahmad berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan berjumlah RM1 juta untuk menjayakan program Tabung Anak Yatim Covid-19 Isma.

Katanya, menerusi program itu Isma menyampaikan sumbangan kepada 22 orang anak yatim terdiri daripada tujuh buah keluarga di seluruh negara.

"Ini melibatkan peruntukan berjumlah RM30,000. Sumbangan ini berupa kelengkapan harian keluarga, kelengkapan persekolahan anak-anak dan duit belanja bulanan mereka," kata beliau.

Tambah Asma, pihak Isma berhasrat membantu anak-anak yatim itu bukan sahaja secara ‘one-off‘ tetapi sehingga mereka berusia 17 tahun iaitu sepanjang tempoh persekolahan mereka.