Teong Kim janji beri peluang pemain tempatan, muda

Teong Kim
Teong Kim
A
A
A

PEMAIN tempatan akan diberikan keutamaan dalam kesebelasan pemain Perak FC musim hadapan.

Ketua Jurulatih Perak FC bagi musim 2023, Lim Teong Kim berkata, selain itu pemain muda juga akan diberikan peluang lebih besar untuk berada di dalam pasukan.

"Ramai pemain muda akan diberi peluang untuk menunjukkan kehebatan mereka. Ini falsafah kami.

"Kamu pun boleh lihat beberapa pemain luar bermain di sini. Mana budak-budak tempatan nak bermain, liga kampung?" katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar bersama pengurusan Perak FC di Stadium Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin; Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah dan Pengarah Sukan Perak FC, Ahmad Shahrul Azhar.

Teong Kim berkata, biarpun keutamaan diberikan kepada pemain tempatan, Perak FC tetap memerlukan pemain luar untuk memperkuatkan pasukan.

Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai jumlah pemain yang dikekalkan masih belum dimuktamadkan termasuk pemain baharu yang akan dibawa masuk.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, pihak pengurusan akan memberi ruang sepenuhnya kepada Teong Kim untuk memilih pemain.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, beliau berkata, pemain dipilih mestilah mengikut perbelanjaan yang diperuntukkan kepada kelab.

"Kita tak akan ada apa-apa bantahan (pemilihan pemain), kita ada bajet. Kalau dia minta nak bawa Ronaldo, tidak bolehlah, itu di luar bajet.

“Bajet kita bukan besar pun, semua ingat kita lebih lumayan daripada JDT (Johor Darul Ta'zim). Sebenarnya bukan sehebat itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan meletakkan sasaran untuk berada di pertengahan liga musim depan jika Perak FC layak ke Liga Super.

Perak FC pada 13 September lalu mengumumkan pelantikan Lim Teong Kim sebagai pengendali baharu The Bos Gaurus bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak untuk setahun lagi.