Perak FC sambar khidmat Teong Kim

Perak FC melantik Teong Kim (kiri) sebagai ketua jurulatih untuk saingan Liga-M 2023. - Foto Kelab Bola Sepak Perak
Perak FC melantik Teong Kim (kiri) sebagai ketua jurulatih untuk saingan Liga-M 2023. - Foto Kelab Bola Sepak Perak
A
A
A

KELAB Liga Premier, Perak FC mengumumkan pelantikan Lim Teong Kim sebagai pengendali baharu The Bos Gaurus bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu menandatangani kontrak selama dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak untuk setahun lagi.

Sementara itu, pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, sudah tiba masanya untuk skuad The Bos Gaurus menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Premier.

"Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan dan kami kini sudah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang ditambah dalam senarai kami.

"Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.

"Pandangan Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan," katanya menerusi satu kenyataan pada akaun Facebook milik Kelab Bola Sepak Perak pada Selasa.

Teong Kim sebelum ini memiliki pengalaman melatih selama 12 tahun dengan skuad Bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich dan melatih para pemain seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos dan Emre Can.

Selain itu beliau juga mempunyai pengalaman berkhidmat dengan kelab Serie A Itali, Bologna FC dan mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.

Artikel Berkaitan:

Teong Kim juga pernah memegang jawatan Pengarah Projek NFDP pada 2013 dan dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016 di pentas tempatan.

Perak FC turut mengesahkan pengendali ketika ini, Yusri Che Lah akan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan skuad B-23 bagi musim depan.

“Lembaga pengarah kelab berterima kasih kepada ketua jurulatih semasa Yusri Che Lah atas segala usaha dan kerja keras beliau sepanjang berkhidmat dengan pasukan.

“Yusri akan diberi peranan baharu untuk membangunkan skuad B-23 musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranannya sejurus selepas perlawanan menentang Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September ini, dengan proses penyerahan dimuktamadkan sebelum pramusim 2023," kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, Perak FC komited untuk membalas sokongan peminat yang telah menyokong kelab sepanjang masa sukar pada 2022.

"Perak FC akan memberikan 10,000 tiket percuma untuk perlawanan terakhir liganya,” kata kenyataan itu lagi.