Pak Atan ‘Si Tenang’ sudah tiada

Pak Atan yang pernah menggemparkan negara dengan kisah dugong peliharaannya meninggal dunia pada 13 September lalu.
Pak Atan yang pernah menggemparkan negara dengan kisah dugong peliharaannya meninggal dunia pada 13 September lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Atan Hussein, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Atan yang pernah menggemparkan negara dengan kisah dugong peliharaannya dilaporkan meninggal dunia pada 13 September lalu.

Menurut menantunya, Md Rahimi Md Asif, 42, jenazah bapa mentuanya yang merupakan anak kelahiran Pasir Gudang, Johor itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih di sini.

“Pada mulanya ayah ditahan di Hospital Sultan Ismail (HIS) Johor Bahru untuk membuat pemeriksaan pada kakinya, namun pada hari ke-14, dia mengalami sesak nafas dan meninggal dunia jam 9.24 malam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Md Rahimi berkata, urusan pengebumian berjalan lancar dengan jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi keesokan harinya.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak, 15 cucu dan dua orang cicit.

Pak Atan (duduk tiga dari kiri) bersama keluarganya.
Pak Atan (duduk tiga dari kiri) bersama keluarganya.

Pada 25 Februari 1999, Pak Atan yang merupakan seorang nelayan menemui seekor anak dugong yang terperangkap dalam jaring udang berhampiran kelong mereka kira-kira 100 meter dari Kampung Pasir Putih.

Ketika ditemui, dugong yang dinamakan ‘Si Tenang’ itu mengalami luka di bahagian mulut dan juga ekor.

Artikel Berkaitan:

Sejak penemuan anak dugong itu dilaporkan, pelbagai pihak termasuk Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Jabatan Perikanan serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyuarakan kebimbangan terhadap nasib mamalia laut itu dan mahu ia dilepaskan semula.

Keputusan Pak Atan melepaskan semula anak dugong itu ke laut mencatat memori sedih apabila Si Tenang dijumpai mati terapung di Selat Tebrau selepas 41 jam dilepaskan pada 11 Mac 1999.

Bangkai mamalia itu ditemui oleh seorang nelayan yang sedang menjala udang tidak jauh dari tempat ia dilepaskan.

Kisah itu mendapat liputan meluas media ketika itu kerana akrabnya Pak Atan dengan Si Tenang yang akhirnya pergi meninggalkan kenangan abadi dalam hidup Allahyarham.