Muafakat Nasional: Pas tunggu keputusan MKT UMNO

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pas akan menunggu keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengenai nasib Muafakat Nasional (MN) sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak tergesa-gesa dalam perkara tersebut kerana masih mempunyai banyak masa sebelum pembubaran Parlimen.

"Mengenai MN, masa masih banyak lagi, pembubaran Parlimen belum tentu lagi, sama ada tahun ini atau tahun depan. Jadi masa masih banyak untuk politik ini.

"Mengenai kenyataan UMNO sebelum ini, kita tunggu Mesyuarat MKT (UMNO) dahulu, belum mesyuarat lagi kot," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Pengukuhan Bekalan Elektrik Melalui Sambungtara Talian Atas di Pulau Pinang pada Khamis.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, titik jalinan antara UMNO dan Pas dalam meneruskan MN suatu perkara yang besar dan perlu dibincangkan dalam MKT dan diluluskan oleh 'top five'.

'Top five' itu merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tambah Takiyuddin, Pas bersedia untuk berbincang dengan mana-mana parti termasuk UMNO dan parti pembangkang.

"Masih panjang lagi masa untuk kita berbincang dengan mana-mana parti. Perbincangan 'anytime', bila-bila masa saja, tidak bergantung kepada tarikh atau tempoh pembubaran.

Artikel Berkaitan:

"Sama lah parti-parti lain pun, kita berbincang. Perbincangan ini boleh di semua peringkat, saya bukan dalam 'top five' dalam parti saya. Tetapi saya boleh sahkan, memang ada perbincangan mengenai MN antara parti dan akar umbi," jelas beliau.