Pasangan kekasih terlibat kes pecah rumah, curi kenderaan dicekup

Agus Salim (tiga dari kanan) menunjukkan barang kes dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Khamis.
Agus Salim (tiga dari kanan) menunjukkan barang kes dirampas pada sidang akhbar di IPD Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sepasang kekasih antara enam individu yang ditahan selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pasangan kekasih berusia 30-an dan empat lagi lelaki berusia lingkungan 17 hingga 54 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan.

Menurutnya, polis terlebih dahulu berjaya menahan suspek wanita di sebuah rumah di Sungai Air Tawar pada 25 Ogos lalu sehingga berjaya membongkar kegiatan pecah rumah dilakukan bersama teman lelakinya dan empat lagi suspek lelaki sekitar daerah ini.

"Hasil tangkapan lima suspek itu, polis berjaya merungkai kegiatan kes pecah rumah dan curi kenderaan didalangi kekasih wanita terbabit yang juga merupakan Orang Pengawasan Polis (OPP).

"Suspek ditahan sepasukan polis kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Kluang, Johor pada 5 September lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Khamis.

Jelas beliau, hasil semakan mendapati suspek utama memiliki 43 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik, selain menjalani perintah sekatan buang daerah (PCO) dari Kluang ke Sabak Bernam pada 20 Disember lalu susulan penglibatan dalam jenayah sama di Kluang, Johor.

Katanya, suspek didapati kembali aktif pada Ogos lalu dan melakukan perbuatan jenayah itu bersama dengan penduduk tempatan.

"Penahanan semua suspek itu berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan tiga kes curi kenderaan sepanjang tempoh sebulan lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pelbagai barangan curi turut dirampas termasuk dua motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM25,000.

"Semua ditahan menjalani ujian air kencing dan empat daripada mereka termasuk pasangan kekasih didapati positif dadah jenis methamphetamine," jelasnya.

Tambah beliau, kesemua terbabit disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 15 (2) (f) Akta Pencegahan Jenayah 1959 kerana melanggar syarat pengawasan polis.

"Suspek ditahan reman selama lima hari dari tarikh tangkapan dan akan dibawa pertuduhan mahkamah pada 25 Oktober depan," ujarnya.