Penyeludup ditahan selepas isi minyak secara kerap

Seorang penyeludup ditahan selepas diserbu oleh anggota penguat kuasa awal pagi Khamis.
Seorang penyeludup ditahan selepas diserbu oleh anggota penguat kuasa awal pagi Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang penyeludup ditahan selepas tindakannya membuat pembelian minyak secara kerap di beberapa buah stesen di sini berjaya dihidu anggota penguat kuasa awal pagi Khamis.

Dalam serbuan di sebuah stesen minyak pada jam 2.50 pagi itu, penyeludup tersebut berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menerusi Op Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 membawa kepada penemuan 40 tong berisi petrol.

"Pemeriksaan lanjut mendapati keseluruhan tong-tong tersebut mengandungi 1,200 liter petrol," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, nilai rampasan bahan api itu dianggarkan berjumlah RM2,460.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Azman berkata, KPDNHEP Kelantan mengalu-alukan penyaluran maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan.

"KPDNHEP sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan," katanya.

Artikel Berkaitan: