Samy Vellu meninggal dunia

Bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu meninggal dunia.
Bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu meninggal dunia.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu meninggal dunia hari ini.

Berita dikongsi oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam di laman Facebook beliau.

Menurut Subramaniam, sumbangan bekas Menteri Kerja Raya itu kepada negara dan masyarakat India akan kekal terukir dalam kenangan.

Subramaniam berkata, bagi kebanyakan kita, beliau adalah mentor utama.

“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, bekas Presiden MIC dan menteri legenda dalam Kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Vell Paari.

“Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal terukit dalam ingatan kami. Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Universiti AIMST dan Kolej Tafe adalah sumbangan abadi beliau,” katanya.

Samy Vellu, 86, merupakan bekas Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 sehingga 2008 dan merupakan Presiden MIC paling lama iaitu 31 tahun sejak 1979.

Subramaniam turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Beliau menjalani kehidupan yang mulia dan pergi dengan penuh penghormatan dan penghargaan yang mendalam,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Turut sama memberikan ucapan takziah ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat rakyat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Menteri Kabinet dan sebagai Presiden MIC akan terus dikenang.

“Takziah sekali lagi dari saya dan seluruh Keluarga Kementerian Kerja Raya Malaysia dan agensi Jabatan Kerja Raya Malaysia (Public Works Department ) CIDB Malaysia & Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat dan negara. Jasa dan pengorbanan mendiang selama menjadi Presiden MIC serta menteri kabinet akan terus dikenang. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” katanya.

Selain itu, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mewakili seluruh keluarga besar Pemuda BN merakamkan ucapan takziah buat keluarga Mendiang Tun S. Samy Vellu yang meninggal dunia pagi ini.

“Sumbangannya kepada negara dan masyarakat India di negara ini begitu besar hingga dihormati kawan dan lawan, juga antara Menteri Kabinet paling lama iaitu 25 tahun berkhidmat.

“Moga segala perjuangannya untuk mengangkat martabat kaum India di negara ini terus memugar dan disemangati oleh generasi pewaris perjuangannya dalam MIC masa kini,” jelasnya.