Banjir: Dua pam sudah berfungsi

Hian Wah (empat, dari kanan) mendengar penerangan wakil JPS Selangor.
Hian Wah (empat, dari kanan) mendengar penerangan wakil JPS Selangor.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - [DIKEMASKINI] Banjir kilat di Jalan Kuyoh di sini dijangka selesai selepas dua daripada tiga pam yang dipasang di kawasan itu mulai berfungsi, hari ini.

ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, projek penggantian pam itu mula dilaksanakan 2017 dan dijangka selesai Jun ini namun disegerakan selepas kawasan itu dinaiki air, Selasa lalu.

Menurutnya, tindakan segera itu berjaya diselesaikan dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membuat penyambungan meter elektrik membolehkan pam itu berfungsi lebih awal dari tempoh sepatutnya.

"Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk pemasangan tiga pam tersebut dan RM6 juta bagi penyelenggaraan kolam takungan Seri Serdang.

"Pam baharu ini mempunyai kuasa 2.5 kali ganda daripada pam lama yang sebelum ini dipasang untuk menyelesaikan masalah sama iaitu banjir kilat," katanya meninjau lokasi bersama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, hari ini.

Jelasnya, pam baharu itu berfungsi secara automatik dengan menyedut keluar takungan tersebut ke Sungai Kuyoh sebaik paras air mencecah paras minimum ditetapkan.

"Seorang operator akan ditempatkan memantau operasi pam itu dan akan menggerakkannya secara manual sekiranya mesin itu menghadapi masalah teknikal.

"Satu lagi pam belum boleh digunakan kerana perlu melihat terlebih dahulu kerosakan komponen yang tenggelam ketika banjir ketika hari kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, dalam kejadian Selasa lalu sekurang-kurangnya 20 rumah terjejas dengan limpahan Sungai Kuyoh kesan taburan hujan luar biasa.

"Banjir kilat itu berlaku disebabkan taburan hujan direkodkan mencecah 156mm berbanding paras biasa iaitu 60mm (paras amaran) menyebabkan paras sungai turut tinggi.

"Saya berharap tambahan pam ini mampu menyelesaikan masalah ini sementara menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk naik taraf Sungai Kuyoh bagi fasa dua," katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, pihaknya juga telah menyalurkan sumbangan kepada penduduk terlibat termasuk RM500 bagi yang mengalami kerosakan teruk.

Pam yang menyedut air keluar sebaik mencapai paras minimum ditetapkan.
Pam yang menyedut air keluar sebaik mencapai paras minimum ditetapkan.

#jalankuyoh #serikembangan Banjir kilat di Jalan Kuyoh di sini dijangka selesai selepas dua daripada tiga pam yang dipasang di sungai itu mulai berfungsi, kelmarin. [ARTIKEL PENUH: https://www.sinarharian.com.my/article/22128/EDISI/Selangor-KL/Banjir-Dua-pam-sudah-berfungsi] Laporan: MOJO Sinar Harian Selangor KL NORAFIZA JAAFAR

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Sunday, April 7, 2019