Ronaldo tolak tawaran kelab Arab Saudi RM1.09 bilion

Yasser Al-Misehal (kiri) meluahkan hasrat untuk melihat Ronaldo beraksi dalam kancah Liga Saudi. Foto Agensi
Yasser Al-Misehal (kiri) meluahkan hasrat untuk melihat Ronaldo beraksi dalam kancah Liga Saudi. Foto Agensi
A
A
A

BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo dilaporkan menolak tawaran yang mampu menjadikannya pemain bola sepak termahal di dunia dengan gaji mingguan mencecah £1.7 juta (RM8.8 juta).

Kelab dari Arab Saudi, Al-Hilal didakwa menawarkan kontrak selama dua musim bernilai £210 juta (RM1.09 bilion) kepada bintang Manchester United itu, lapor media Sepanyol.

Presiden Liga Arab Saudi, Yasser Al-Misehal memberitahu The Athletic bahawa dia ingin melihat pemain seperti Cristiano Ronaldo dalam Liga Saudi.

"Ia akan membawa maklum balas positif yang besar dan akan menjadi berita besar untuk semua orang. Saya pasti semua orang tahu pencapaian dan rekod Ronaldo. Dia juga seorang pemain yang menjadi contoh hebat.

"Saya fikir, 'kenapa tidak?' Saya pasti ia akan menjadi perjanjian yang sangat mahal. Sudah tentu, tetapi kita boleh melihat kelab kita memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ronaldo ketika ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan United di bawah kendalian ten Hag. - Foto Agensi.
Ronaldo ketika ini lebih banyak memanaskan bangku simpanan United di bawah kendalian ten Hag. - Foto Agensi.

Penyerang berusia 37 tahun itu bagaimanapun tidak berminat untuk menyertai Al-Hilal kerana mahu kekal beraksi di pentas tertinggi.

Bagaimanapun Ronaldo terpaksa akur beraksi di pentas kedua tertinggi Eropah-Liga Europa selepas hasratnya untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas tidak kesampaian.

Artikel Berkaitan:

Kapten Portugal itu dikaitkan dengan perpindahan ke Atletico Madrid, Sporting Lisbon dan Napoli, namun gagal menyempurnakan perpindahan tersebut.

Ronaldo ketika ini hanya memanaskan bangku simpanan di bawah kendalian Erik ten Hag.

Tumpuan utama Ronaldo tahun ini hanyalah Piala Dunia dan dia perlu menunggu sehingga jendela perpindahan dibuka semula pada Januari bagi mencari kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara.