Aktiviti korek pasir sungai gusarkan penduduk

Peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengambil pasir di Sungai Selama, di sini.
Peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan untuk aktiviti mengambil pasir di Sungai Selama, di sini.
A
A
A

SELAMA - Penduduk di Kampung Siputeh, Ulu Selama, di sini meluahkan kebimbangan terhadap aktiviti mengambil pasir di Sungai Selama, di sini yang dikhuatiri akan menjejaskan sungai berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Siputeh, Mohamad Norhisyam Husain berkata, pihaknya menyedari aktiviti tersebut sejak seminggu yang lalu selepas melihat jentera dan peralatan berada di kawasan tersebut.

Menurutnya, penduduk setempat bimbang aktiviti mengambil pasir di kawasan itu akan menjejaskan kualiti air sekali gus mengakibatkan sungai tercemar selain berlaku risiko hakisan tebing sungai.

"Aktiviti ini juga dibimbangi akan menjejaskan sektor pelancongan di kawasan ini kerana sungai ini merupakan tarikan utama orang ramai yang ke sini melakukan aktiviti air.

"Jika air mulai keruh dan kotor, kawasan ini sudah pasti akan menjejaskan kehadiran pelancong sekali gus menyebabkan penduduk bakal kehilangan mata pencarian," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

MOHAMAD NORHISYAM
MOHAMAD NORHISYAM

Menurutnya, sehubungan itu pihak berwajib digesa melihat semula kelulusan aktiviti mengambil pasir di kawasan tersebut dengan mengambil kira kebimbangan penduduk.

Jelas Mohamad Norhisyam, aduan dan bantahan telah dikemukakan kepada agensi berkaitan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama yang juga Exco Kerajaan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin mengenai perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penduduk amat berharap agar kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap bantahan yang dikemukakan bagi mengelak berlaku impak lebih besar kepada alam sekitar.

Sementara itu, Mohd Akmal yang dihubungi mengesahkan menerima aduan tersebut dan telah turun padang melihat kawasan yang dimaksudkan penduduk.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat kenyataan lanjut mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat.