PKBM pertaruh ramuan terbaik

Sofian Nabil (kiri) dan Nik Mohd Azwan (tiga dari kiri) ketika membarisi skuad kebangsaan Malaysia pada LTdL 2019.
Sofian Nabil (kiri) dan Nik Mohd Azwan (tiga dari kiri) ketika membarisi skuad kebangsaan Malaysia pada LTdL 2019.
A
A
A

DUA pelumba berpengalaman, Sofian Nabil Omar Bakri dan Nik Mohd Azwan Zulkiflie bakal menjadi sandaran utama skuad kebangsaan Malaysia pada kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bermula 11 hingga 18 Oktober ini.

Sofian Nabil mencipta sensasi dalam kejohanan berbasikal terulung di Asia itu apabila menyarung Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) pada peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya ketika edisi 2019.

Nik Mohd Azwan juga pernah menyarung Jersi Putih pada LTdL 2018, selain muncul pemenang pingat emas acara ujian masa berpasukan (TTT) pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pasangan adik beradik kembar, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal turut kembali beraksi pada LTdL 2022.

“Kesemua empat pelumba itu memiliki pengalaman sangat besar dalam dunia berbasikal seperti LTdL. Mereka sudah biasa berlumba dengan nama-nama besar dalam sukan berbasikal ini.

“Saya percaya mereka tahu apa yang hendak dilakukan pada LTdL kali ini. Jadi, saya harap mereka dapat menghasilkan keputusan positif sepanjang lapan peringkat perlumbaan nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Skuad kebangsaan Malaysia turut menagih kudrat dua tenaga muda, Izzat Helmi Abd Halil dan Kee Zhe Yie bagi membantu Sofian Nabil serta Nik Mohd Azwan melakar kejutan pada LTdL 2022.

Abu Samah memberitahu, skuad kebangsaan Malaysia mengharapkan sentuhan Ariff Danial Noor Roseidi dan Dr Norhasmat Abd Aziz yang turut disenaraikan sebagai pelumba simpanan.

Artikel Berkaitan:

“Dr Norhasmat memiliki pengalaman luas dalam dunia Masters. Sekalipun berkhidmat dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan), namun saya percaya beliau mampu memperkuat pasukan Malaysia,” jelasnya.

Menyentuh tentang peluang skuad kebangsaan Malaysia, Abu Samah berkata, PKBM berpuas hati sekiranya semua pelumba berjaya menamatkan perlumbaan tanpa dibayangi sebarang prestasi mengaibkan.

“Sudah tentu saya harap Sofian Nabil atau Nik Mohd Azwan boleh melakukan kejutan dengan menyarung Jersi Putih sekali lagi. Ia bukan sesuatu yang mustahil jika mereka dapat mengekalkan kayuhan terbaik,” ujarnya.

LTdL 2022 meliputi laluan keseluruhan sejauh 1,183 kilometer (km) melibatkan lapan peringkat bermula di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan berakhir di Pulau Langkawi.