Lelaki didenda RM2,000 halang tugas penjawat awam

Lay Huat (dua dari kiri) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Selasa.
Lay Huat (dua dari kiri) ketika di bawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Padah menghalang penjawat awam menjalankan tugas, seorang lelaki didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Yew Lay Huat, 45, membuat pengakuan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Mahkamah turut menetapkan penjara enam bulan jika dia ingkar membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, Lay Huat didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Lans Koperal Mohd Nizam Abdul Salam dalam menjalankan fungsi jawatannya berdekatan Pangsapuri Tengkera Jaya, di sini kira-kira jam 3 petang pada 8 September lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh anggota peronda dan cuba menahannya, namun tertuduh telah memecut motosikal dan menunggang secara berbahaya sebelum terbabas berhampiran sebuah pangsapuri di Tengkera Jaya.

Tertuduh turut bertindak agresif ketika ditahan dan dipercayai melarikan diri kerana bimbang ditangkap individu menyamar sebagai polis sedangkan anggota terbabit memakai uniform lengkap dan menaiki kereta peronda yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja sendiri dan perlu menanggung bapa yang sudah uzur.