Cubaan jatuhkan PM dari golongan pengecut

Maszlee
Maszlee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak yang memanipulasi isu Statut Rom dan menjadikannya sebagai senjata untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan golongan yang pengecut.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, cubaan menjatuhkan Perdana Menteri itu juga menunjukkan bahawa reformasi dan perubahan yang dilalui negara melalui proses demokrasi telah diganggu-gugat.

“Bukan mudah kita mahu berada di mana kita berada hari ini. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana semua reformasi dan perubahan yang sedang kita jalankan diganggu-gugat oleh tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

“Lebih-lebih lagi ia menggunakan cara tidak demokratik. Pihak seperti ini adalah pengecut yang tidak boleh dipercayai. Mereka menggunakan isu Statut Rom sebagai satu usaha terburuk untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang kita sayangi,” kata Maszlee melalui kenyataan di Facebooknya.

Semalam, Dr Mahathir menegaskan Malaysia mengambil keputusan menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom hasil mesyuarat Kabinet.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana ada pihak menjadikannya isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan dan Perdana Menteri selain cubaan mengheret Institusi Raja menentang kerajaan kononnya menyerahkan kuasa kepada negara luar akan menghakis hak dan kekebalan Raja-raja Melayu.

Mengulas lanjut Maszlee berkata, pihak yang cuba mengelirukan rakyat dengan memutar belit hal berkaitan Statut Rom merupakan permainan politik yang teruk.

Artikel Berkaitan:

“Apakah maknanya reformasi pentadbiran yang sedang berjalan sekarang jika kita terpaksa pula menempuh jalan sukar seperti ini?

“Kepimpinan Dr Mahathir wajar dipertahankan daripada gangguan tidak demokratik. Kita semua bertanggungjawab mempertahankannya,” katanya.