Waspada rangkaian serangan The Red Giant

Marc Vales (dua, kanan) cemerlang bersama barisan pemain pertahanan KDA FC mematahkan serangan Melaka United pada aksi Liga Super 2022 yang lalu. - Foto KDA FC
Marc Vales (dua, kanan) cemerlang bersama barisan pemain pertahanan KDA FC mematahkan serangan Melaka United pada aksi Liga Super 2022 yang lalu. - Foto KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) perlu waspada dengan rangkaian serangan Selangor FC yang bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman bagi aksi Liga Super 2022 pada malam Rabu.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, prestasi The Red Giant juga berada pada tahap baik selepas berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 sebelum menewaskan Sabah 2-0 di Kota Kinabalu pada aksi yang lalu.

Menurutnya, Sang Kenari boleh dihukum jika tidak memperkemaskan bahagian pertahanan semasa berdepan Selangor FC.

Justeru katanya, momentum kemenangan pada dua aksi lalu menjinakkan Penang FC 1-0 serta Melaka United 0-3 perlu diteruskan.

"Selangor adalah sebuah pasukan yang memiliki kreativiti di bahagian serangan mereka. Pasukan ini memiliki penyerang yang laju dan boleh memberi ancaman kepada Kedah.

"Kami perlu bersiap sedia dan tidak boleh leka bagi mengelak dihukum ketika berdepan lawan itu pada malam esok," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

KDA FC berada pada landasan tepat untuk membaiki kedudukan ke tangga kelima saingan Liga Super jika mampu menewaskan Selangor.

Pada pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan itu pada April lalu menjadi milik Selangor FC yang menang 4-1 di laman pasukan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Aidil Sharin, beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak buahnya bagi memastikan tiga mata penting dapat diraih.

KDA FC kini berada di tangga keenam Liga Super dengan 24 mata selepas 16 perlawanan manakala Selangor FC di tangga kelapan dengan 20 mata selepas 17 perlawanan.