Lebih baik sokong Tun M daripada Anwar: Mursyidul Am Pas

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KOTA BHARU - Pas beranggapan lebih baik mendekati Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat menjaga kepentingan Islam berbanding pendirian yang ditunjukkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ia berdasarkan tindakan yang diambil Perdana Menteri yang disifatkannya menjaga kepentingan Islam dan terbaharu, berhubung keputusan menarik diri dari meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Biarpun berbeza fahaman politik namun katanya, Pas mengambil pendirian untuk mengikut mana-mana keputusan yang menguntungkan Islam.

“Saya nak tekankan, setakat hari ini, Pas guna formula mudah iaitu kita sokong mana-mana keputusan yang tidak bercanggah dengan syariat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tak jadi tandatangan Statut Rom

Dalam pada itu, mengulas mengenai sokongan ahli terhadap keputusan parti bekerjasama dengan UMNO, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana akar umbi menyambut saranan pemimpin tertinggi biarpun dua parti ini bermusuhan sejak sekian lama.

Sebelum ini katanya, pihaknya turut merasai kebimbangan itu sehingga menyebabkannya terpaksa menyelinap ke mesyuarat pemuda Pas.

Namun ternyata katanya, beliau bersyukur kerana tiada tentangan daripada akar umbi, dalam usaha mendekatkan dua parti itu demi kebaikan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Mestilah ada suara (tentangan) tapi saya yakin ia tidak bahaya dan tidak ramai yang tidak menyokong keputusan parti.

“Sama ada nak tahu UMNO ikhlas atau tidak, hanya ALLAH yang mengetahui,” katanya, pada sidang media di Mesyuarat Agong Pas Kawasan Kota Bharu kali ke 52 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), hari ini.