6,038 liter diesel dirampas, gudang diserbu

Sebanyak 6,038 liter diesel disita dalam serbuan di sebuah gudang tanpa nombor di Sungai Petani pada Isnin.- Foto: KPDNHEP Kedah
Sebanyak 6,038 liter diesel disita dalam serbuan di sebuah gudang tanpa nombor di Sungai Petani pada Isnin.- Foto: KPDNHEP Kedah
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah menumpaskan satu sindiket penyelewengan bahan api bersubsidi diesel dengan menyita 6,038 liter bahan bakar itu dalam serbuan di sebuah gudang tanpa nombor di di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang dilakukan sepasukan lima anggota penguat kuasa KPDNHEP Alor Setar itu hasil daripada aduan orang awam dan risikan sejak dua minggu lepas.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati premis tidak mempunyai lesen atau permit yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan dijadikan sebagai tempat pengumpulan minyak diesel.

“Semasa serbuan dijalankan, gudang tersebut tidak beroperasi, namun pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah 6,038 liter minyak diesel berada di dalam tong fiber.

“Turut ditemui dalam gudang tersebut adalah 30 unit tong fiber dengan enam tong berisi diesel,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Affendi, diesel yang ditemui di gudang itu dipercayai dibeli daripada beberapa stesen minyak di sekitar Sungai Petani dan Gurun sebelum dijual semula kepada pihak industri.

Beliau memaklumkan, sehubungan itu, pasukan serbuan telah bertindak menyita minyak diesel berjumlah 6,038 liter diesel, hos paip dan pam elektrik dengan nilai rampasan sebanyak RM21,470.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana beroperasi atau menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal," katanya.