Roket bilionair AS terhempas ketika menuju angkasa lepas

Kapsul yang membawa peralatan eksperimen sains terselamat dan mendarat di bumi selepas roket yang membawanya, New Shepard terhempas di gurun Texas pada Isnin. - Foto Blue Origin/AP
Kapsul yang membawa peralatan eksperimen sains terselamat dan mendarat di bumi selepas roket yang membawanya, New Shepard terhempas di gurun Texas pada Isnin. - Foto Blue Origin/AP
A
A
A

WASHINGTON - Sebuah roket New Shepard daripada firma Blue Origin yang dimiliki bilionair kedua paling kaya di dunia, Jeff Bezos dan membawa muatan penyelidikan ke angkasa lepas terhempas sejurus berlepas dari pusat pelancarannya di sebuah gurun Texas pada Isnin

Bagaimanapun, kapsul yang membawa eksperimen itu selamat dan terapung sebelum ia mendarat di gurun tersebut dengan menggunakan payung terjun.

Roket New Shepard itu tidak membawa angkasawan ketika ia menuju ke angkasa lepas.

Ekoran kejadian itu, roket-roket New Shepard telah digantung sementara menunggu siasatan selesai dilakukan, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

"Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda awam telah dilaporkan," tambah FAA seperti dilaporkan oleh AFP.

Kapsul itu perlu melakukan 36 eksperimen yang dibiayai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di angkasa lepas dan pada mulanya dijadualkan dilancarkan pada akhir Ogos lalu tetapi ditangguhkan kerana cuaca buruk.

Kejadian itu berlaku ketika ia bergerak pada kelajuan 1,126 kilometer sejam pada ketinggian kira-kira 8,500 meter, namun roket itu kelihatan terhenti kerana mengalami masalah teknikal.

Kapsul itu kemudiannya berpisah daripada roket tersebut sebelum ia kembali ke bumi dengan menggunakan payung terjun.

Artikel Berkaitan:

Bezos merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Amazon dan mempunyai anggaran kekayaan bersih sebanyak AS$153 bilion (RM689.57 bilion).

Beliau menduduki tempat kedua terkaya di belakang pengasas syarikat SpaceX, Elon Musk yang mempunyai anggaran kekayaan bersih sebanyak AS$251 bilion (RM1.1 trilion). - Agensi