KPLB bersedia hadapi banjir besar

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mahdzir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mahdzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang diramalkan banjir besar berlaku pada November depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementerian itu mempunyai agensi yang melibatkan masyarakat setempat bagi membolehkan tindakan terus dilakukan sekiranya bencana banjir berlaku di sesuatu kawasan.

"Di Johor kita ada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Terengganu, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Kelantan dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di Kedah.

"Kita ada 40 hari sebelum sampai November, jadi saya ingat ia patut digerakkan sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai persiapan kementerian itu berhubung ramalan banjir besar melanda negara pada penghujung November depan pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Selangor di kementeriannya, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) persediaan peringkat awal menghadapi banjir telah dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ramlan Harun.

"Kita sudah ada banyak pengalaman berkenaan banjir. Semua agensi dan bahagian boleh 'alert' apa yang berlaku," jelas beliau.

Pada majlis itu, seramai 212 pengerusi JPKKP dari 371 kampung di Selangor telah menerima watikah lantikan bagi tempoh dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Pada 2 September lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met) memberitahu negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.