Bekas renjer menang saman, dapat ganti rugi RM330,000

Muhammad Maliki (dua dari kanan) memeluk Shaharuddin selepas menang tuntutan ganti rugi RM330,000 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Isnin.
Muhammad Maliki (dua dari kanan) memeluk Shaharuddin selepas menang tuntutan ganti rugi RM330,000 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bekas anggota renjer Kem Desa Pahlawan di sini memang tuntutan saman berjumlah RM330,000 terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana melakukan penahanan secara salah terhadapnya selama 311 hari pada Ogos 2014 hingga Julai 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu terhadap tuntutan yang difailkan oleh plaintif, Muhammad Maliki Abdul Halim, 35.

Plaintif pada 2 Mei 2018 memfailkan tuntutan ganti rugi itu dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shaifullizan Abd Aziz sebagai defendan pertama, pihak berkuasa sidang Panglima Briged Kelapan Infantari Malaysia (kedua), Panglima Angkatan Tentera (ketiga) dan kerajaan Malaysia (keempat).

Berdasarkan penyataan tuntutan itu, operasi pencegahan dadah dilaksanakan pada 29 Mac 2014 ke atas 26 anggota termasuk plaintif dan mendapati urin mengandungi pelbagai jenis dadah termasuk metamphetamine dan amphetamine.

Plaintif tidak mengaku bersalah di Mahkamah Tentera dan minta untuk dibicarakan, namun telah dikenakan tahanan ketat dengan ditempatkan di dalam lokap.

Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata, berlaku kepincangan dan salah guna kuasa dalam prosedur tindakan tatatertib yang dilakukan oleh defendan-defendan ke atas plaintif.

“Mahkamah memahami tentera yang tertakluk kepada peraturan tersendiri namun sebarang tindakan yang diambil tidak boleh secara semberono.

“Mahkamah mendapati berlaku salah guna kuasa oleh defendan pertama dan kedua yang tidak bertanggungjawab hingga menafikan hak plaintif sebagai manusia dalam menjalani kehidupannya,” katanya di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut mendapati plaintif ditahan secara salah selama 311 hari bermula 26 Ogos 2014 sehingga 3 Julai 2015 iaitu melebihi daripada tuntutan asal plaintif yang berjumlah 250 hari.

“Mahkamah dengan ini mengarahkan plaintif dibayar ganti rugi am dan teladan teruk secara global berjumlah RM300,000 serta kos guaman sebanyak RM30,000,” katanya.

Muhammad Maliki
Muhammad Maliki

Mohamad Maliki diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed, manakala defendan-defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Norfauzani Mohd Noordin.

Sementara itu, Muhammad Maliki yang ditemui di luar bilik mahkamah berkata, dia akhirnya terpaksa mengaku bersalah atas tuduhan dadah dan dihukum penjara dua bulan sebelum dibuang kerja pada tahun 2018.

“Selepas itu saya mengalami tekanan hidup hingga bercerai dengan isteri pada tahun 2020.

“Lima anak kami berusia enam sehingga 12 tahun kini tinggal dengan isteri dan saya kini baru sahaja bekerja sebagai juruteknik di Kuala Lumpur,” katanya.