Segera naikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50

Ahmad Tarmizi
Ahmad Tarmizi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram dengan kadar segera bagi membantu penoreh yang kini berdepan musim hujan berpanjangan atau tengkujuh.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) pada kadar RM3.50 sekilogram juga wajar dilaksanakan bagi membolehkan penoreh beroleh lebih pendapatan.

Menurutnya, selain itu kawalan getah sintetik yang dihasilkan secara besar-besaran juga perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam industri getah.

“Harga getah yang merosot sehingga RM2.30 sekilogram kini menimbulkan kebimbangan golongan penoreh yang berdepan kepayahan hidup terutama di daerah Sik, Baling dan Padang Terap.

“Kebanyakan penoreh adalah masyarakat kampung. Pendapatan mereka terjejas apabila tiba musim hujan yang berpanjangan, menyebabkan aktiviti harian untuk mencari nafkah tidak dapat diteruskan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Ahmad Tarmizi berkata, keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu dan pada masa sama harga barangan terus mengalami kenaikan menyebabkan penoreh semakin tertekan untuk menampung kehidupan seharian.

“Ada segelintir penoreh mengambil upah menoreh di kebun getah milik orang lain dan hasilnya perlu dikongsi menyebabkan pendapatan bulanan terlalu sedikit berbanding harga semasa. Sebahagian pula terpaksa berjimat cermat membeli keperluan harian dan perbelanjaan barang dapur memandangkan pendapatan semakin berkurang,” katanya lagi.

Menurutnya, kehidupan penoreh terdiri daripada golongan berusia dilihat semakin terhimpit dengan kemelut kewangan terutama mereka yang terpaksa mendapatkan rawatan perubatan secara bulanan.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan akan menjadi sangat genting sekiranya ramai penoreh berhijrah ke tanaman komoditi lain yang lebih menguntungkan. Malah hanya akan memberikan impak buruk terhadap bekalan getah asli di Malaysia kelak sekiranya tiada penyelesaian segera daripada kerajaan.

“Saya percaya dengan adanya bantuan kerajaan melalui pengaktifan IPG pada kadar RM3.50 sekilogram dan menaikkan harga lantai getah, antara langkah penting untuk membantu penoreh meneruskan kelangsungan hidup,” kata beliau.

Ahmad Tarmizi yakin sekiranya dua kaedah tersebut dilaksanakan, seterusnya dapat merealisasikan pembangunan ekonomi getah sebagai salah satu kepentingan kepada Keluarga Malaysia.

“Kita juga perlu mengambil kira laporan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang menjangkakan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

“Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, yang mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi,” ujarnya.

Menurutnya lagi, peningkatan taburan hujan turut disebabkan oleh fenomena La Nina yang dijangka berlaku sehingga tahun depan.