Langkah BAM tepat, matangkan corak permainan pemain remaja

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menubuhkan skuad elit junior dalam usaha mempercepatkan perkembangan pemain remaja negara disifatkan tindakan tepat.

Menurut bekas jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim, dia sangat bersetuju dengan penubuhan skuad elit junior itu kerana ia bakal memberikan peluang kepada pemain-pemain remaja negara mendapat pendedahan lebih awal beraksi dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa bersama pemain-pemain ternama dunia.

Katanya, dengan pendedahan awal berkenaan, ia bakal mematangkan lagi pemain-pemain remaja negara berkenaan dan mereka mampu untuk berada sebaris dengan pemain-pemain ternama dunia lebih awal.

“Saya sangat bersetuju dengan penubuhan skuad elit junior ini...lagi pun sebelum ini, pemain-pemain remaja kita hanya difokuskan kepada kejohanan-kejohanan di peringkat remaja sahaja.

“Tetapi dengan penubuhan skuad elit junior ini, mereka berpeluang untuk beraksi di kejohanan yang lebih besar di peringkat antarabangsa yang turut disertai oleh pemain-pemain handalan dunia.

“Bagi saya, ia satu pendedahan yang cukup baik bagi pemain yang berusia 16, 17 tahun ini dan apabila berusia 18 tahun tu kira dah ‘meletup’ atau mencapai puncak prestasi masing-masing lebih awal berbanding sebelum ini, tak perlulah nak tunggu sampai 25 tahun, baru nak didedahkan kepada kejohanan-kejohanan antarabangsa,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Penubuhan skuad elit junior BAM yang diumumkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Rabu lalu, merupakan pendekatan proaktif badan induk itu dalam usaha mempercepatkan perkembangan para pemain remaja negara.

Skuad elit junior BAM melibatkan 14 pemain muda berusia antara 16 hingga 18 tahun akan dihantar menyertai kejohanan di peringkat senior.

Artikel Berkaitan:

Skuad elit junior dibarisi Justin Hoh, Eogene Ewe, Jan Jireh Lee dan Muhammad Faiq Haziq bagi perseorangan lelaki manakala Ong Xin Yee, Carmen Ting, Siti Zulaikha Azmi dan Ung Yi Xing (perseorangan wanita).

Bagi beregu lelaki, skuad elit junior negara dibarisi Bryan Goonting, Choi Jian Sheng, Aaron Tai dan Kang Khai Xing dan Vannee Gobi dan Clarissa San (beregu wanita).

Tambah Muhammad Hafiz, skuad elit junior juga akan membantu menambahkan jumlah para pemain badminton negara yang berkaliber.

“Sebelum ini kita hanya dapat menyaksikan kemunculan ramai pemain dari negara seperti Indonesia, Denmark mengetengahkan lima hingga enam pemain, gandingan serta pasangan beregu yang bagus-bagus, kini kita juga bakal mampu melakukan perkara sama.

“Lagi pun, kini kita sudah ada juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan mereka ini akan dijadikan idola dalam kalangan pemain remaja negara.

“Paling penting, para pemain ini bakal memiliki mentaliti juara dalam usaha mengikut jejak langkah Aaron-Wooi Yik dan bagi saya memiliki mentaliti seperti ini jauh lebih penting dalam usaha meraih kejayaan,” katanya.