'Bersatu beri sumbangan besar terhadap negara, rakyat'

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat walaupun baru enam tahun berada dalam kancah politik negara.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah serta melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat.

"Hari ini Bersatu menyambut ulang tahun keenam penubuhannya. Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya.

"Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendukung matlamat dan perjuangan parti seperti yang termaktub dalam perlembagaannya, maka Bersatu akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti.

"Ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial, menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing.

"Selain itu, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara dan mendukung Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, semua prinsip perjuangan tersebut mesti diamal dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu sekali gus membezakan mereka dengan ahli parti politik yang lain.

"Ahli-ahli Bersatu juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk budaya politik yang murni supaya parti kita dihormati oleh semua. Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti.

Artikel Berkaitan:

"Seperti yang kita semua maklum, Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan pada bila-bila masa. Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya.

"Insya-ALLAH berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dukungan rakyat dan izin ALLAH SWT, Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional," katanya.