Tak sempat belanja hasil samun, dua sahabat dicekup

Antara barangan yang ditemui disyaki hasil samun atau digunakan suspek semasa menyamun. -Foto PDRM
Antara barangan yang ditemui disyaki hasil samun atau digunakan suspek semasa menyamun. -Foto PDRM
A
A
A

PETALING JAYA - Dua sekawan tidak sempat membelanjakan wang hasil samun setelah mereka ditahan lapan jam selepas menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek pertama ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah pangsapuri di sekitar Damansara pada jam 1.30 tengah hari dan hasil soal siasat berjaya memberkas rakannya di kawasan sama.

"Kejadian berlaku pada Khamis lebih kurang jam 5 pagi semasa mangsa sedang bekerja tiba-tiba dua lelaki tempatan meluru masuk ke dalam premis dan mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga.

"Mangsa yang ketakutan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM800 bersama 14 kotak rokok sebelum suspek bertindak melarikan diri menaiki sebuah motosikal. Kerugian dianggarkan berjumlah RM1,043," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Fakhrudin berkata, hasil soal siasat kedua-dua suspek yang berusia 25 dan 39 tahun itu mengaku terlibat dalam kes terbabit.

Katanya, pemeriksaan lanjut telah menemui pakaian dan kenderaan disyaki digunakan suspek semasa kejadian dan merampas beberapa barangan yang dipercayai daripada hasil samun.

"Rampasan termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha, sebilah pisau berukuran 30 sentimeter (cm), topi keledar (tiga), bang sandang (satu), baju hujan (satu), telefon bimbit (tiga), beg penghantar makanan berwarna jingga (satu), wang tunai RM1,520 dan 11 kotak rokok," jelas beliau.

Pada masa sama, Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan lanjut turut mendedahkan kedua-dua suspek terlibat dengan tiga kes samun berkawan tanpa senjata api membabitkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut merampas pakaian disyaki dipakai semasa kejadian samun dan kami percaya telah menyelesaikan tiga kes samun berkawan dalam daerah Petaling Jaya," ujarnya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan manakala suspek kedua empat rekod kesalahan narkotik.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa senjata api dan suspek akan dibawa ke Majistret pada Jumaat untuk permohonan reman," katanya.