Program PerantiSiswa terima 65,898 permohonan sebulan

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA BESUT - Kerajaan menerima 65,898 permohonan tablet di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa kedua dalam masa sebulan sejak ia mula dibuka pada 1 Ogos lepas.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 45,341 permohonan layak menerima tablet manakala 20,557 permohonan sedang diproses.

"Kita mempunyai 1.6 juta keseluruhan pelajar, bagaimanapun kalangan pelajar B40 ada 300,000 lebih. Jadi kami minta pelajar yang layak dan belum lagi memohon supaya berbuat demikian kerana kita ada sehingga 30 September ini untuk proses permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Akademik dan Pentadbiran, Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBE) dan ‘Agropreneur Incubator Park’ (AIP) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, di sini pada Khamis.

Katanya, pemberian tablet jenama Samsung itu bergantung kepada permohonan memandangkan terdapat pelajar yang tidak mengemukakan permohonan kerana telah mempunyai komputer riba atau tablet sendiri.

Dalam pada itu Noraini menyeru pelbagai pihak terutama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) supaya menguar-uarkan kepada para pelajar yang layak supaya segera mengemukakan permohonan sebelum 30 September ini.

Selain itu beliau berkata, sebanyak 3,156 permohonan PerantiSiswa di Terengganu telah diluluskan dan seramai 150 pelajar UniSZA menjadi kumpulan pertama menerima tablet tersebut di Terengganu pada pada Khamis.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

Sebelum ini permohonan untuk inisiatif Perantisiswa yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lepas bagi fasa pertama telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata, kementerian sentiasa memantau kafeteria di setiap IPT awam bagi memastikan hidangan Menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50, diberikan dalam kuantiti munasabah dan tidak mengabaikan aspek kualiti makanan.

"Kerajaan juga telah memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam mulai Julai lepas, jadi mereka sepatutnya boleh menawarkan menu pada kuantiti yang munasabah kepada pelajar,” katanya. - Bernama