Wanita maut akibat diserang anjing liar

Rakaman video tular memaklumkan mayat seorang wanita ditemui di tepi jalan simpang Kampung Batu, Semporna.
Rakaman video tular memaklumkan mayat seorang wanita ditemui di tepi jalan simpang Kampung Batu, Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui di tepi simpang Kampung Batu, di sini, pada Ahad lalu, meninggal dunia akibat diserang anjing liar.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, wanita tempatan berusia 29 tahun itu didapati mengalami pendarahan yang banyak berikutan gigitan daripada haiwan liar terbabit.

"Pakar perubatan forensik di Hospital Queen Elizabeth (HQE) mengesahkan punca kematian adalah disebabkan pendarahan yang banyak akibat kecederaan gigitan haiwan.

"Hasil pemeriksaan awal terhadap mayat itu terdapat banyak kesan gigitan haiwan pada bahagian belakang badan, paha dan lengan kanan serta kepala disyaki akibat gigitan anjing liar.

"Sebelum itu, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat wanita yang dilihat dalam keadaan meniarap pada jam 8 pagi Ahad lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kata beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat sudah dituntut oleh warisnya.

"Bagaimanapun, sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh disalurkan kepada Inspektor Mustapha Abdul Majid di talian 089-782020," katanya.

Mohd Farhan Lee dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan kepada Majlis Daerah Semporna (MDS) sekiranya terkesan kehadiran anjing liar yang banyak di sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular di media sosial berhubung satu video durasi satu minit 12 saat memaklumkan penemuan mayat wanita di tepi jalan simpang kampung terbabit.