Bisa Haaland di Liga Juara-Juara

Haaland menyumbat dua gol ketika membantu City menewaskan Sevilla 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara. - Foto Agensi.
Haaland menyumbat dua gol ketika membantu City menewaskan Sevilla 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara. - Foto Agensi.
A
A
A

BINTANG sensasi, Erling Haaland berada dalam kelas tersendiri apabila menjadi pencetus kemenangan Manchester City ketika membenam Sevilla 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara.

Penyerang Norway itu menyumbat gol pada setiap babak, manakala Foden dan Ruben Dias turut mencatat nama selaku penjaring pada aksi Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Pengendali, Pep Guardiola menyifatkan aksi pemain berusia 22 tahun itu sebagai luar biasa, malah lebih berbisa apabila dia benar-benar dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan The Citizens.

"Dia meledak dua gol dan ada peluang untuk dua atau tiga gol lagi. Kami ada jumlah jaringan yang menakjubkan dan kami mahu terus begitu," katanya.

Guardiola sebelum ini memberitahu, City tidak boleh bergantung sepenuhnya dalam Liga Juara-Juara kepada Haaland.

Bagaimanapun, ia penampilan menakjubkan Haaland bersama The Citizens selepas berhijrah dari Borussia Dortmund apabila meledak 12 gol dalam hanya tujuh perlawanan membabitkan semua kejohanan.

Haaland telah menyumbat 25 gol daripada 20 aksi Liga Juara-Juara, ketika penampilan pertama buat City, Dortmund dan Red Bull Salzburg.

Bagaimanapun Guardiola berkata, City masih belum belajar cara terbaik bermain bersama Haaland kerana mereka kadangkala cuba menggunakannya terlalu awal.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak bermula dengan baik pada babak pertama kerana mahu menyerang terlalu pantas.

"Ada ketika kami mahu segera melakukannya (serangan) kerana Erling ada di sana.

"Kami perlu lebih bersabar dan menunggu dia bersedia untuk meledak," ujarnya.