Rezeki peniaga Laman Seni Serunding makin bertambah

Siti Mariam menyusun gelembung buaya yang dihasilkan sendiri di kedainya.
Siti Mariam menyusun gelembung buaya yang dihasilkan sendiri di kedainya.
A
A
A

TUMPAT - Peniaga di Laman Seni Serunding di Laman Warisan Kampung Laut di sini mula menikmati manfaat selepas projek Laman Warisan Kampung Laut siap sepenuhnya pada Jun lalu.

Projek itu juga dapat meningkatkan taraf pendapatan penduduk serta mewujudkan rantaian ekonomi dalam sektor pelancongan.

Tinjauan Sinar Harian di Laman Seni Serunding mendapati peniaga sudah memenuhi semua 11 unit kedai dan bersedia menerima pelanggan dari dalam dan luar negeri.

Beberapa peniaga yang sebelum ini memulakan perniagaan di rumah juga berkongsi pengalaman memasuki kedai baharu.

Peniaga kekacang, Nurul Shahidah Abdul Rahman, 32, memulakan perniagaan di kedai itu sejak tiga bulan lalu dengan menjual produk jenama sendiri.

Menurutnya, dalam tempoh itu masih belum ramai pelanggan dan dia menggunakan inisiatif lain dengan menjual melalui dalam talian.

"Saya memilih untuk menyewa kedai bagi memudahkan pelanggan datang membeli selain mempromosikan sendiri melalui media sosial," katanya.

Selain kekacang seperti gajus berperisa dan badam, Nurul Shahidah turut menjual dodol, serunding dan makanan kering hasil tempatan.

Artikel Berkaitan:

Penjual dodol, Zaiton Ismail, 68, pula berharap cuti persekolahan dapat menambah rezeki peniaga di lokasi yang bakal menjadi tumpuan ramai pelancong.

Zaiton yang sudah dua bulan berniaga dodol buatan sendiri di kedai itu bagaimanapun mencadangkan pihak berkaitan di kawasan itu menambah baik kemudahan air dan laluan troli bagi memudahkan peniaga menolak troli barangan mereka.

"Alhamdulillah, selepas ada kedai pendapatan bertambah kerana sebelum ini saya berniaga dari rumah," katanya.

Bagaimanapun, Zaiton meminta ada pihak membantu mereka dengan memaklumkan kepada syarikat pengurusan pelancong mengenai keistimewaan semua kedai di laman itu.

Siti Mariam Md Nor, 26, yang meneruskan perniagaan gelembung buaya dan dodol warisan nenek serta ibunya bersyukur kerana pelanggan tetapnya boleh mengambil produk itu di kedai.

"Laman ini lebih terbuka dan memberi peluang kepada pelanggan baru dan lama membeli makanan trasidi Kelantan dengan lebih selesa," katanya.

Siti Mariam turut mencadangkan Majlis Daerah Tumpat menyenaraikan semua kedai di laman itu kepada pusat-pusat yang menguruskan pelancong supaya peniaga di situ mendapat limpahan manfaat daripada kedatangan pelancong.

Peniaga di Laman Seni Serunding di Laman Warisan Kampung Laut kini mula dikunjungi pelanggan selepas projek Laman Warisan Kampung Laut siap sepenuhnya pada Jun lalu.
Peniaga di Laman Seni Serunding di Laman Warisan Kampung Laut kini mula dikunjungi pelanggan selepas projek Laman Warisan Kampung Laut siap sepenuhnya pada Jun lalu.

"Setakat ini saya lebih banyak menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam lawatannya pada Ahad berkata, projek Laman Warisan Kampung Laut bernilai lebih RM47 itu mampu menarik pelancong dari dalam dan luar Kelantan termasuk pelancong antarabangsa.

Projek Laman Warisan kampung Laut terbahagi kepada dua komponen iaitu Laman Serunding yang siap sepenuhnya pada Mac 2021 dan Laman Seni siap pada Mac 2022.

"Laman Seni Warisan menempatkan masjid Kampung Laut yang terkenal sebagai sebuah masjid yang dibina tanpa paku, struktur kayu asal serta berusia lebih 400 tahun," katanya.

Tambahnya, projek Laman Warisan Kampung Laut mewujudkan peluang perniagaan, menyediakan produk pelancongan baharu selain pekerjaan kepada penduduk tempatan.