Israel tembak mati seorang rakyat Palestin, 16 lagi cedera

Beberapa penduduk Palestin mengusung mayat Mohammad Musa Saabaneh yang meninggal dunia selepas ditembak mati dalam serbuan besar-besaran yang dilancarkan pasukan tentera Israel di bandar Jenin utara Tebing Barat pada Selasa. - Foto EPA
Beberapa penduduk Palestin mengusung mayat Mohammad Musa Saabaneh yang meninggal dunia selepas ditembak mati dalam serbuan besar-besaran yang dilancarkan pasukan tentera Israel di bandar Jenin utara Tebing Barat pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A

BANDARAYA JENIN - Seorang rakyat Palestin ditembak mati manakala 16 lagi cedera dalam serbuan besar-besaran yang dilancarkan pasukan tentera Israel di bandar Jenin utara Tebing Barat pada Selasa.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, mangsa dikenal pasti sebagai Mohammad Musa Saabaneh, 29, lapor Agensi Anodolu memetik agensi berita rasmi Wafa.

Tentera Israel menyerbu bandar Jenin bagi merobohkan sebuah apartmen milik keluarga Raad Hazem, yang dilaporkan telah membunuh tiga orang dalam serangan bersenjata di Tel Aviv pada April sebelum dia ditembak mati polis Israel.

Anggota keselamatan Israel bertindak menutup jalan raya, mengosongkan 29 apartmen secara paksa, dan meletupkan kediaman Hazem, lapor Wafa.

Ketika pertempuran berlaku di kawasan itu, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin, membunuh Saabaneh dan mencederakan 16 yang lain, termasuk seorang lagi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Israel juga sering merobohkan rumah penduduk Palestin yang melakukan serangan ke atas warga Israel, perbuatan yang dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia dan pelapor Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan didakwa sebagai 'hukuman kolektif'. - Bernama

Artikel Berkaitan: