Kaedah perikanan sungai Perak ditambah baik

Razman menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa. Gambar kecil: Noraishah)Razman menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa. Gambar kecil: Noraishah
Razman menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa. Gambar kecil: Noraishah)Razman menyampaikan sijil kepada peserta yang menyertai Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa. Gambar kecil: Noraishah
A
A
A

TAIPING - Jabatan Perikanan Perak dalam tindakan menambah baik Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 bagi menangani aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan larangan termasuk bom.

Pengarah Perikanan negeri, Noraishah Hashim berkata, pindaan itu kini dalam peringkat draf terakhir untuk semakan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak supaya relevan dengan keadaan semasa.

Menurutnya, antara isu dan keperluan pindaan peruntukan tersebut adalah kadar kompaun bagi kesalahan yang dilakukan dan hukuman denda bagi kes mahkamah.

"Dalam sesi libat urus sebelum ini, kita sentiasa mengingatkan mereka untuk tidak menggunakan peralatan yang dilarang ini, tetapi kes masih berlaku hampir di semua daerah.

"Kerana itu jabatan mahu menambah baik Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 supaya kita dapat memasukkan larangan menangkap ikan menggunakan peralatan yang dilarang dan tingkatkan penguatkuasaan seperti mengenakan kompaun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Kesedaran Pematuhan myGAP (Malaysian Good Aquaculture Practice) dan Pensijilan Jabatan Perikanan Malaysia peringkat Negeri Perak di sini pada Selasa.

Program berkenaan dirasmikan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria dan turut dihadiri, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Husain.

Noraishah berkata, pemantauan mendapati, banyak kes melibatkan nelayan sungai menggunakan bahan letupan, tuba atau meracun ikan bagi mendapatkan hasil yang banyak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aktiviti itu bukan sahaja mendatangkan risiko besar kepada habitat ikan, tetapi berbahaya kepada nelayan dan boleh menyebabkan kematian seperti kes terbaharu di Lenggong pada Isnin.

"Kes letupan daripada bom ikan yang berlaku di Pusat Rekreasi Lata Kekabu di Lenggong semalam adalah yang pertama melibatkan kematian tahun ini.

"Kes-kes sama juga sebenarnya berlaku di daerah-daerah lain dan ada yang sampai menggunakan senapang (tembak ikan)," katanya.

Beliau menegaskan, aktiviti seumpama itu biasanya dilakukan secara tersembunyi pada awal pagi dan lewat petang, menyebabkan sukar dikesan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan dan rondaan darat di perairan sungai.

"Tetapi apabila ada aduan, kita akan siasat dan ada juga kes sebelum ini yang melibatkan tangkapan terhadap nelayan," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa, Amirudin Khairudin, 44, maut di tempat kejadian manakala rakannya berusia 40 tahun parah selepas terkena bom ikan buatan sendiri ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.