Dua pelajar, seorang kelindan lori direman kes rogol

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan reman tiga lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Lima bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan tiga pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dua daripada kejadian dilaporkan berlaku di kawasan sekolah yang sama tetapi melibatkan mangsa dan suspek berbeza.

Menurut beliau, laporan dibuat dua mangsa terlibat pada 2 dan 3 September.

"Mereka yang ditahan merupakan dua pelajar dan seorang kelindan lori berumur 19 tahun.

"Siasatan awal mendapati kejadian dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, hasil ujian urin juga mendapati kesemua suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

"Bagi Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan manakala Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rosdi memberitahu, polis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan melaksanakan pelbagai usaha termasuk kempen kesedaran jenayah.

Selain itu katanya, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu bagi menangani jenayah seksual dalam kalangan pelajar sekolah.

"Kita juga menasihatkan ibu bapa memantau kegiatan anak-anak mereka supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan," katanya.