KJ atau Tok Mat, pengundi Rembau tiada masalah

Gambar dari kiri: Muhammad Yusrie, Mohd Asri, Zahrah
Gambar dari kiri: Muhammad Yusrie, Mohd Asri, Zahrah
A
A
A

REMBAU - "Dua-dua bagus dan dua-dua pun ok".

Itu pandangan kebanyakan pengundi Parlimen Rembau ditanya perbandingan antara Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian, mereka berpendapat kedua-dua pemimpin itu mempunyai kelebihan masing-masing dan tiada masalah jika dinamakan sebagai calon Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut warga emas Zahrah Samad, 69, walau siapa saja yang diletakkan UMNO sebagai calon Parlimen Rembau, dia tetap memberi sokongan.

"Dua-dua ada kelebihan. Khairy orang muda yang mempunyai banyak idea dan Tok Mat pula orang korporat dan jasanya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan tidak dapat dinafikan.

"Ia memang satu pertembungan sengit. Nak pilih itu memang susahlah dan sebab itu sebagai pengundi di Parlimen Rembau, saya boleh saja kedua-duanya," katanya.

Turut mempunyai pandangan sama Mohd Asri Zainal, 34, yang menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai prestasi yang baik.

Katanya, sebagai pengundi Rembau, dia akan memberi sokongan kepada sesiapa saja yang akan dicalonkan nanti.

Pengundi muda Muhammad Yusrie Mohd Yusof, 22, berkata, Khairy merupakan pilihan terbaik kerana telah lama berkhidmat di Parlimen Rembau.

Bagaimanapun, dia juga tiada masalah jika Muhamad diletakkan sebagai calon parlimen berkenaan pada PRU15.

"Yang penting dua-dua pun bagus," katanya.

Abd Rahman
Abd Rahman

Selain itu penduduk Kampung Sawah Raja, Abd Rahman Osman, 67, pula menyifatkan perbandingan antara kedua-dua pemimpin itu adalah 50-50.

Ujarnya, sukar untuk membuat pilihan mana paling terbaik dan disebabkan itu dia tiada masalah walau siapa saja diletakkan sebagai calon.

Zakaria
Zakaria

Pesara kerajaan, Zakaria Mad Isa, 67, berkata, dia menyokong walau siapa saja dipilih sebagai calon.

"Dua-dua bagus dan Khairy pun sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rembau pun saya tengok tiada masalah," katanya.