[VIDEO] 9 senior buli pelajar Tingkatan 2 didakwa

Sebahagian sembilan tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan dibawa ke bilik lokap selepas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 pada Jun lalu selesai dijalankan.
Sebahagian sembilan tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan dibawa ke bilik lokap selepas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 pada Jun lalu selesai dijalankan.
A
A
A

TELUK INTAN - Seramai sembilan pelajar lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas pertuduhan menyebabkan cedera parah kepada seorang pelajar Tingkatan 2, Jun lalu.

Kesemua tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Majistret Nur Faizah Mohamad Saleh dalam prosiding dilakukan secara tertutup.

Mengikut kertas pertuduhan, pelajar terbabit didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa berusia 14 tahun di bilik asrama lelaki aspura di sebuah sekolah di Jalan Changkat Jong di sini sekitar jam 12.30 tengah malam pada 23 Jun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Francis.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 kepada setiap pelajar dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa mengalami patah tulang rusuk dan melecur di bahagian belakang badan akibat ditekap dengan seterika panas.

"Sembilan pelajar didakwa di mahkamah kerana menyebabkan cedera parah pada mangsa, manakala, seorang lagi pelajar diberi jamin dan dijadikan saksi pendakwaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 cedera akibat dipukul sekumpulan pelajar senior yang turut menggunakan seterika panas dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Teluk Intan.

Kejadian sekitar jam 12.30 tengah malam itu dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar perempuan yang juga teman wanita kepada seorang suspek yang membulinya.